Mengurangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta mengenakan levi atas pemegang Pas Pekerjaan (EP) merupakan antara cadangan dasar yang dikemukakan oleh Parti Kemajuan Singapura (PSP) dalam manifesto parti bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai, mengumumkannya ketika melancarkan slogan kempen parti – ‘Kemajuan bagi Semua’ – pada 6 April di ibu pejabat parti itu di Bukit Timah,
Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, turut berkata manifesto ini merupakan hasil usaha bekas Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong dan Cik Hazel Poa, sejak dua tahun lalu.
Manifesto tersebut mengandungi lebih 60 usulan dasar yang merangkumi enam bidang utama.
Ini termasuk kos sara hidup, perumahan, pekerjaan, jaringan keselamatan sosial, pendidikan dan tadbir urus.
Antara cadangan utama termasuk mengenakan kuota bagi pemegang pas pekerjaan (EP) dengan syarikat kecil dibenarkan untuk mengambil lebih ramai pemegang EP.
PSP berkata kuota ini akan membuka peluang sama rata, antara populasi kecil Singapura dengan kemahiran kumpulan pekerja global.
Dr Tan turut menambah syarikat masih boleh menggaji pekerja asing yang berkelayakan dan mahir walaupun dengan pelaksanaan kuota.
Pada masa yang sama, parti itu akui kesukaran syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam mengakses tenaga kerja asing yang mahir.
Oleh itu, kuota yang lebih tinggi akan membantu mereka memenuhi keperluan tersebut.
PSP juga mencadangkan levi bulanan sebanyak $1,200 bagi memberi peluang sama rata buat golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) tempatan dan asing.
Akur bahawa penjagaan kesihatan adalah antara yang membentuk perbelanjaan terbesar bagi rakyat Singapura, parti itu juga mencadangkan agar pemerintah membayar premium MediShield Hayat dan CareShield Hayat bagi semua rakyat Singapura.
PSP juga menggesa agar penggunaan MediSave diperluaskan untuk merangkumi rawatan pergigian asas bagi pencegahan dan bukan estetik, yang tidak memerlukan pembedahan.
Pengurangan GST daripada 9 peratus kepada 7 peratus turut dicadangkan, memandangkan “kedudukan fiskal Singapura yang kukuh”.
Menurut laporan The Business Times (BT), Encik Leong berkata bahawa manifesto PSP masih belum siap sepenuhnya.
“Kami percaya, di PSP, bahawa mana-mana parti politik yang boleh dipercayai mesti mempunyai dasar yang berwibawa,” kata Encik Leong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg