Pengasas laman web berita alternatif Wake Up, Singapore (WUSG), Encik Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, antara bakal calon Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang diperkenalkan oleh setiausaha agung Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, pada 13 April.
Encik Ariffin, seorang eksekutif undang-undang berumur 27 tahun, bersama tiga lagi calon dijangka bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee, yang kini dipegang kumpulan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diterajui Perdana Menteri Lawrence Wong.
Selain Encik Ariffin, SDP turut memperkenalkan mantan ketua pegawai eksekutif Gulf Oil China, Cik Gigene Wong, 59 tahun, yang bertanding pada GE2020 di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hong Kah North, di bawah Parti Kemajuan Singapura (PSP).
Bakal calon SDP yang lain di GRC Marsiling-Yew Tee, sebuah GRC empat anggota, ialah setiausaha penganjur parti itu,, Encik Jufri Salim, seorang usahawan berusia 42 tahun, dan seorang pengarah teater, Encik Alec Tok, 60 tahun.
Dr Chee membuat pengumuman itu semasa bertemu media selepas melakukan lawatan ke Pasar dan Pusat Makanan Marsiling Lane.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Encik Wong mengumumkan beliau dan tiga lagi AP semasa GRC Marsiling Yew-Tee – Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; dan Cik Hany Soh – akan mempertahankan kerusi Parlimen mereka.
Mereka mengalahkan pasukan SDP dengan 63.18 peratus undi pada GE2020.
Dr Chee berkata partinya “berasa amat selesa di sini”, setelah bertanding di GRC Marsiling Yew-Tee pada GE2015 dan GE2020.
Merujuk kepada anggota SDP yang lain yang hadir di situ, Dr Chee berkata: “Kami berada di sini pada dua, tiga pilihan raya yang lalu, dan kami rasa sangat selesa di kawasan ini.
“Rakan-rakan saya di belakang ini telah lama turun padang di sini, dan saya sendiri juga telah kembali ke sini beberapa kali walaupun saya terlibat di Bukit Batok.
“Hakikatnya, kami telah berkempen di kawasan ini sejak sekian lama, dan penduduk di sini sudah cukup mengenali kami, seperti yang anda lihat.
“Dalam pilihan raya kali ini, kehadiran kami di sini menjadi lebih penting kerana pencalonan Encik Lawrence Wong di kawasan ini,” ujar Dr Chee.
Antara isu yang ingin diketengahkan parti tersebut termasuk pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi barang keperluan asas, menghapuskan cukai air, mengurangkan kadar GST daripada 9 peratus kepada 7 peratus.
Bagi Encik Jufri, meskipun menjadi anggota SDP sejak 2006, ini kali pertama beliau akan bertanding di GRC Marsiling Yew-Tee.
Dr Chee menyifatkan beliau sebagai “salah seorang penyokong setia” SDP.
Penerbit muzik itu berkata jika dipilih, beliau ingin memberi tumpuan pada kos perumahan dan sara hidup.
“Masalah (yang diketengahkan) di sini selalunya tetap (mengenai) kos sara hidup. Di Marsiling... estet-estet lama kebanyakan orang-orang yang dah berumur. Jadi, mereka perlukan bantuan dan sokongan.
“Dari 2015 hingga 2020 masalahnya tetap sama dan dalam perjalanan saya dari 2020 hingga 2025... di kawasan undi Marsiling-Yew Tee masalahnya tidak berubah,” ujar Encik Jufri, yang turut bertemu penduduk di GRC Sembawang.
Sementara itu, Encik Damanhuri Abas, daripada SDP telah bertanding di GRC tersebut bagi GE2015 dan GE2020, dan akan bertanding bersama pasukan SDP di GRC Sembawang bagi GE2025.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) sama ada beliau telah berinteraksi dengan Encik Damanhuri dalam memahami isu penduduk di GRC tersebut, Encik Jufri menyifatkan hubungan mereka sangat rapat.
“Dengan saya di sini (Marsiling-Yew Tee) dan beliau pula beralih ke Sembawang, itu juga menunjukkan kami semua bersatu padu demi strategi parti SDP untuk maju dan bangkit ke hadapan,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg