Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, berkata setiap pilihan raya adalah sukar, lebih-lebih lagi bagi pihak pembangkang dan tiada jaminan bagi kemenangan.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran manifesto WP berjudul ‘Bekerja untuk Singapura’ di ibu pejabat parti itu di Geylang Road menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi mengumumkan barisan muka baru bersama pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, pada 17 April.
Manifesto itu tertumpu kepada lima teras utama iaitu kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi dan peluang yang ada, nilai inklusif dan kesaksamaan, akauntabiliti dan demokrasi serta keselamatan dan geopolitik.
Encik Pritam, yang bakal mengetuai parti dalam GE buat kali kedua sebagai ketua WP, menjelaskan:
“Mungkin ada pendapat di luar sana yang menyatakan sesebuah kawasan undi sudah tentu berada dalam genggaman (satu parti). Ini bukanlah halnya sama sekali.
“Setiap undi adalah undi yang penting bagi kami.”
Pengumuman manifesto itu dibuat selang beberapa jam selepas parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), mengumumkan manifesto GE2025 berasaskan cogan ‘Dunia Berkisar, Barisan Segar, Azam Berkobar’.
Encik Pritam yang merupakan Ketua Pembangkang sebelum Parlimen dibubarkan, menambah matlamat jangka sederhana parti bagi memenuhi sepertiga kerusi Parlimen, yang beliau umumkan pada 2019, tidak dapat dipenuhi dalam GE2025.
Ini setelah parti itu “tidak dapat memenuhi sepertiga bilangan calon untuk mengisi satu pertiga daripada Anggota Parlimen (AP) pembangkang di Parlimen”, katanya.
WP perlu menampilkan sekurang-kurangnya 32 calon untuk meraih peluang memenuhi matlamat itu dalam GE2025, dengan 97 kerusi Parlimen dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini.
Ditanya berkenaan bilangan calon yang akan diketengahkan parti itu, Encik Pritam tidak mendedahkan bilangannya, dan berkata perincian lanjut akan diumumkan lebih dekat dengan Hari Penamaan Calon.
Sementara itu, Ketua Kajian Dasar parti, Encik Gerald Giam, berkata manifesto WP akan membentangkan 125 usul dasar, daripada alternatif kepada cukai barangan dan perkhidmatan kepada elaun yang lebih tinggi untuk anggota perkhidmatan negara, dan umur mengundi yang lebih rendah iaitu 18 tahun.
“Ini adalah rancangan kami untuk Singapura yang lebih adil, lebih selamat, yang berfungsi lebih baik untuk semua orang. Ini adalah rancangan kami untuk Bekerja untuk Singapura,” kata beliau semasa memberikan perincian manifesto, bersama Timbalan Ketua Kajian Dasar parti, Profesor Madya Jamus Lim, dan Bendahari WP, Cik He Ting Ru.
Beliau berkata manifesto kali ini adalah “versi yang diperhalusi” daripada manifesto GE2020 berikutan beberapa usulan yang diketengahkan dalam manifesto sebelum ini “telah diperdebatkan di Parlimen”.
“Apabila kami memperhalusi usulan yang telah kami bangkitkan pada 2020, sebahagian daripadanya masih termaktub (dalam manifesto kali ini).
“Sebab (beberapa) usulan ini masih dikekalkan adalah kerana ia belum dilaksanakan… kami mahu usulan ini dilaksanakan,” kata beliau.
Beliau menukil contoh usulan bagi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, meskipun sebelum rundingan mengenai penyelesaian dua negara dimuktamadkan.
Ia bukanlah sesuatu perkara lumrah untuk mengetengahkan usulan bagi sesebuah negara tertentu, katanya, tetapi ia langkah penting ke arah proses kedamaian.
Beliau berkata beberapa negara, termasuk negara Barat seperti Norway dan Sepanyol, telah mula mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sejak kebelakangan ini.
“Banyak negara mengiktiraf Pihak Berkuasa Palestin, tetapi tidak semua negara mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, dan kami berpendapat adalah penting bagi kami kemukakan pendirian ini.
“Ia akan memajukan proses perdamaian pada peringkat lebih sama, dengan dua negara berunding antara satu sama lain dan bukannya satu negara berunding dengan aktor bukan negara,” tambahnya.
Usulan ini pernah dibangkitkan Encik Giam kepada Kementerian Ehwal Luar dalam sidang Parlimen pada 2 Julai 2024.
Sementara itu, empat muka baru yang bakal diketengahkan dalam GE2025 ialah Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Kenneth Tiong dan Cik Eileen Chong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg