Bertajuk Working For Singapore (Bekerja untuk Singapura), manifesto Parti Pekerja (WP) memberi tumpuan kepada isu kemampuan dan kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan, kesaksamaan dalam masyarakat, kebertanggungjawaban dan demokrasi, serta keselamatan dan geopolitik.
Berucap di ibu pejabat parti di Geylang, pemimpin kanan WP, Encik Gerald Giam, berkata manifesto WP kali ini adalah versi lebih baik daripada yang dibentangkan pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).
Selepas GE2020, dengan pertambahan jumlah Anggota Parlimen (AP) WP, parti tersebut dapat membawa cadangan tersebut ke Parlimen dan “menguji keberkesanannya melalui perbahasan”, katanya.
Encik Giam menambah, sebahagian cadangan dari manifesto 2020 masih dimuatkan dalam versi terkini kerana belum dilaksanakan pemerintah.
Pada 17 April, Parti Pekerja (WP) melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) merangkumi 125 cadangan dasar dalam lima bahagian utama.
Berikut adalah ringkasan bagi manifesto tersebut:
WP mencadangkan beberapa langkah untuk meringankan beban kos hidup, antaranya adalah insurans pemberhentian kerja buat semua pekerja tempatan, yang dibiayai bersama oleh majikan dan pekerja.
Pemimpin kanan WP, Profesor Madya Jamus Lim, berkata skim parti itu berbeza daripada inisiatif pemerintah, Skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture, kerana menawarkan bantuan sehingga $2,000 sebulan selama enam bulan kepada pekerja yang diberhentikan, tertakluk kepada syarat tertentu.
Dalam hal perumahan, harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dicadangkan dikaitkan dengan pendapatan median pemilik baru.
Selain itu, WP mencadangkan penetapan bil utiliti secara berperingkat untuk meringankan beban pengguna berpendapatan rendah, serta membenarkan warga emas 60 tahun ke atas menggunakan MediSave bagi perbelanjaan perubatan yang tidak dilindungi skim lain, seperti MediShield Hayat.
Cadangan WP termasuk mengutamakan bakat tempatan, meningkatkan daya saing syarikat kecil dan sederhana (SME), serta sokongan lebih baik kepada pekerja yang berumur dan memperbaharui skim Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Salah satu cadangan adalah mengaitkan pembaharuan pas pekerjaan asing dengan pemindahan kemahiran kepada rakyat Singapura, yang harus dipantau dan dilaporkan.
WP juga mencadangkan untuk memansuhkan umur persaraan wajib dan menyemak kadar faedah Akaun Biasa CPF.
Bahagian ini mencadangkan isu penjagaan keluarga, pendidikan, akses perumahan dan sukan tempatan. WP mengusulkan cuti penjagaan keluarga berbayar enam hari setahun, pembangunan industri kesihatan mental, dan program 10 tahun untuk membolehkan pelajar melepasi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Parti ini juga mahu ukuran kejayaan dasar melepasi pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP), termasuk ketidaksamaan pendapatan, kesihatan, serta matlamat iklim dan kemampanan.
Pemimpin kanan WP, Cik He Ting Ru, menyatakan cadangan seperti undang-undang kebebasan maklumat dan membuka dokumen selepas 25 tahun. Ada juga cadangan untuk melindungi kebebasan kehakiman dengan menghapuskan pelantikan hakim jangka pendek.
Beliau menegaskan pentingnya sistem bebas untuk memeriksa kuasa. Katanya, kebertanggungjawaban dan demokrasi perlu menjadi panduan dalam masa sukar.
Cadangan dalam bahagian ini termasuk memperkuat pertahanan negara, mengurus bajet keselamatan dengan lebih baik, dan meningkatkan daya tahan negara.
Antara cadangan adalah menukar “elaun Perkhidmatan Negara (NS)” kepada “gaji NS” sekurang-kurangnya $1,600 sebulan, dengan caruman CPF.
Di peringkat antarabangsa, WP menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin dan mencadangkan Singapura mengiktiraf Palestin sebelum rundingan selesai.
Manifesto penuh boleh didapati di www.wp.sg/manifesto.
“
Apabila anda mempunyai parti pembangkang di Parlimen, suara alternatif dan pandangan anda didengari oleh pemerintah. Terdapat tekanan terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bertindak, terutamanya jika pandangan yang dikemukakan oleh WP dikongsi semua rakyat Singapura.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg