Kedua-dua pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) bagi GRC Punggol memulakan kempen mereka pada awal pagi 24 April, sehari selepas Hari Penamaan Calon, dengan berkunjung ke Pusat Tukaran Bas Punggol.
Tiba lebih dahulu sekitar 6 pagi, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, bersama pasukannya mengedarkan risalah dan menyapa para penduduk, sambil menggesa penduduk agar mengundi mereka.
Turut hadir ialah anggota pasukan itu – Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; dan dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling.
Pasukan WP tiba sekitar sejam kemudian dan turut berlegar di kawasan sama sambil memperkenalkan diri kepada orang ramai.
Encik Harpreet disertai pengarah kanan pembangunan perniagaan penerbit di sebuah firma teknologi pengiklanan, Cik Alexis Dang; penasihat undang-undang, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar; serta pengurus kanan urusan korporat dan pemasaran, Encik Jackson Au.
Dua pasukan itu bersaing di GRC Punggol, sebuah kawasan undi baru.
Lebih separuh daripada sekitar 120,000 pengundinya dikatakan terdiri daripada golongan berusia antara 21 dengan 45 tahun.
Pengundi milenial dan Generasi Z membentuk sebahagian besar pengundi di kawasan itu, dengan perbezaan 10 peratusan mata berbanding kumpulan usia yang lain.
Pasukan PAP beredar dari lokasi pada sekitar 8.30 pagi sementara pasukan WP terus bersapa dan memberi risalah kepada penduduk.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, menteri utama bagi pasukan empat anggota PAP di situ, berpindah dari GRC Chua Chu Kang untuk menerajui PAP, menentang pasukan WP yang diketuai oleh peguam kanan, Encik Harpreet Singh.
Encik Harpreet menyifatkan peluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 di GRC Punggol sebagai “keistimewaan seumur hidup” buat beliau dan rakan sepasukan.
Semasa berucap pada Hari Penamaan Calon, Encik Gan berkata: “Kami akan terus berusaha keras untuk meraih kepercayaan dan keyakinan anda, dan terus berkhidmat kepada anda bagi lima tahun akan datang demi masa depan yang lebih baik untuk Punggol.”
Encik Harpreet pula menyebut tentang usaha meningkatkan kemampuan sara hidup, sistem pendidikan yang lebih baik, serta politik yang lebih adil, termasuk gesaan agar Persatuan Rakyat melayan setiap warga Singapura secara saksama tanpa mengira kecenderungan undi.
Beliau berkata WP bersedia memimpin perubahan dan berjanji bahawa pasukannya akan bekerja keras demi penduduk GRC Punggol.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg