Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bukan calang-calang.
Sepanjang lebih dua dekad, Encik Jeffrey Siow menyumbang kepada negara dalam pelbagai sektor sebagai penjawat awam, termasuk dalam mengusahakan dasar berkenaan tenaga manusia, pendidikan dan pengangkutan untuk mempertingkat kehidupan rakyat.
Namun kini, Encik Siow, 47 tahun, berasa sudah tiba masanya untuk beliau melakukan lebih banyak lagi untuk lebih mendekati dan membantu rakyat Singapura dan memastikan dasar-dasar adalah relevan untuk mereka.
Justeru, beliau memutuskan memasuki dunia politik, menjadi antara muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bertanding di GRC Chua Chu Kang dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 ini.
Berkongsi perbezaan antara berkhidmat sebagai penjawat awam berbanding calon politik untuk rakyat Singapura, Encik Siow berkata:
“Sebagai pegawai pemerintah, anda membantu menjaga seluruh negara, anda memikirkan dasar-dasar yang menjejas semua. Sebagai Anggota Parlimen (AP) pula, atau sebagai penasihat, anda bertanggungjawab ke atas kehidupan penduduk dan bagi saya, terdapat sekitar 100,000 penduduk (di Chua Chu Kang).
“Anda mahu mengenali mereka (penduduk) secara individu, fikirkan mereka sebagai keluarga besar anda, dan memahami masalah dan situasi serta sekitaran kehidupan mereka dan segala-galanya tentang mereka.
“Kemudian, anda membantu mereka memanfaatkan sebaiknya dasar pemerintah dan mempertingkat kehidupan mereka,” tambah beliau.
Encik Siow, yang meletak jawatan pada 2 April lalu, merupakan penjawat awam paling kanan yang meninggalkan perkhidmatan awam untuk menyertai politik bagi GE2025.
Jawatan terakhirnya adalah setiausaha tetap kedua di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan pengarah urusan di lembaga berkanun Enterprise Singapore dan ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong.
Pasukan empat anggota beliau di GRC Chua Chu Kang diterajui Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, merangkumi Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Cik Choo Pei Ling.
Mereka akan menentang pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) terdiri daripada Encik A’bas Kasmani, Cik Wendy Low, Encik S Nallakaruppan dan Encik Lawrence Pek.
Membesar dalam kehidupan yang sederhana, Encik Siow berkata beliau telah meraih banyak manfaat daripada sistem Singapura – daripada program susu percuma semasa kecil hingga ke prosedur pembedahan bersubsidi yang dilaluinya apabila beliau patah tangan, dua kali, semasa main bola, dan dasar perumahan.
Semasa kecil, beliau tinggal di flat sewa satu bilik bersama ibu bapa dan adik lelakinya di Henderson.
Bapanya seorang pekerja kedai kopi, manakala ibunya pernah bekerja sebagai juruwang bank sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa.
“Ibu bapa saya tiada pendidikan formal – satu perkara yang agak biasa pada zaman mereka. Ramai orang bekerja awal dalam kehidupan mereka zaman itu.
“Namun, saya selalu berpandangan bahawa ibu bapa saya individu yang sangat bijak. Mereka membesarkan saya dalam cara yang baik, pastikan saya betul-betul belajar, berdisiplin, tidak bercampur dengan salah orang.
“Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada mereka,” kata bapa dua anak berusia 13 dan 15 tahun itu.
Keluarga itu berpindah ke flat tiga bilik setelah Encik Siow menjejakkan kaki ke sekolah rendah dan setelah itu, kehidupan mereka terus bertambah baik.
Meskipun baru dalam dunia politik, Encik Siow berkata beliau berasa selesa bertemu dan berinteraksi dengan penduduk Chua Chu Kang sejak beberapa minggu ini, sambil mendengar keprihatinan dan cabaran yang dihadapi serta memahami keperluan mereka.
Encik Siow berasa gembira beliau semakin dikenali penduduk, termasuk kanak-kanak yang pernah bertemu beliau ketika beliau melakukan lawatan ke rumah.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan awam, Encik Siow berkata beliau boleh menjadi sumber nasihat dan maklumat yang boleh dipercayai serta sokongan kepada penduduk jika mereka memerlukan bantuan.
“Penduduk biasanya prihatin tentang isu-isu tempatan, seperti pengangkutan, sokongan untuk anak-anak yang sedang membesar, kemahuan untuk mempunyai lebih banyak acara kemasyarakatan dan kemudahan.
“Namun, pada masa yang sama, mereka juga ingin menyumbang idea, dan saya mendengar dan menikmati pandangan mereka tentang apa yang mereka ingin lakukan. Ada yang sangat menarik.
“Namun, sesetengah penduduk juga prihatin dengan persekitaran luaran, dengan apa yang berlaku di dunia, yang menunjukkan kematangan pengundi kita,” kata beliau.
Ditanya apakah pandangannya terhadap persepsi bahawa calon politik yang diambil daripada perkhidmatan awam akan bersetuju sahaja dengan konsensus parti dan tidak mencabar idea atau keputusan yang dibuat, Encik Siow berkata beliau tidak bersetuju, sambil menambah bahawa PAP telah mendapatkan calon daripada pelbagai sektor dengan pelbagai perspektif berbeza.
Bahkan, pekerja dalam perkhidmatan awam juga tidak seragam, dengan masing-masing mempunyai pandangan sendiri, dan mereka berdebat, memberikan saranan berbeza dan berbincang apabila timbulnya isu, tambahnya.
Encik Siow memberi contoh apabila beliau mengusulkan program perjalanan percuma kepada penumpang yang menaiki MRT sebelum bermulanya waktu sibuk pada 7 pagi ketika bekerja di Kementerian Pengangkutan (MOT) dahulu, perdebatan tentang idea itu berlangsung sebelum ia akhirnya diterima dan dilaksanakan.
Dengan dunia telah berubah dan Singapura kini dalam fasa baru memandang ke hadapan, Encik Siow berharap rakyat Singapura akan mempertimbangkan kepentingan undi mereka dalam GE2025 ini.
“Saya menyertai politik kerana saya fikir ada peranan untuk saya sebagai sebahagian daripada pasukan kepimpinan baru ini.
“Namun, saya berharap rakyat Singapura akan memikirkan dengan teliti tentang kepentingan undi mereka dan memberikan sokongan kuat kepada PAP agar kami boleh lakukan tugas kami dengan yakin, dengan mengetahui bahawa kami mempunyai sokongan rakyat,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg