Kos sara hidup dan membina keluarga yang berdaya tahan adalah antara keprihatinan utama ramai penduduk Melayu/Islam di GRC East Coast, kata calon berpotensi Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk Pilihan Raya Umum (GE) 2025, Cik Hazlina Abdul Halim.
Lantaran itu, keutamaan mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) serta mantan editor dan penyampai berita itu, sekiranya bertanding dalam GE2025, adalah untuk mendampingi penduduk dan mendengar kembimbangan mereka agar dapat mencari huraian bersama.
Bercakap semasa satu lawatan ke kawasan Joo Chiat bersama beberapa Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast pada 5 April, Cik Hazlina, 40 tahun, berkata berdasarkan pertemuannya dengan penduduk di kawasan itu, ramai penduduk Melayu/Islam seperti warga Singapura lain yang prihatin tentang kos sara hidup.
“Aspek lain termasuk peluang membina keluarga yang berdaya tahan dan mengamalkan agama dengan bebas. Ini adalah penting untuk rakyat Singapura dan masyarakat Melayu/Islam. Satu lagi isu keprihatinan ialah keadaan Gaza dan saya boleh memahaminya... adalah penting juga untuk membenarkan semua masyarakat melahirkan keprihatinan mereka di wadah dan saluran betul,” ujar beliau.
Mengenai keutamaannya jika bertanding nanti, Cik Hazlina, yang kini Naib Presiden Kanan di syarikat perundingan, Teneo, menjelaskan:
“Keutamaan saya adalah untuk benar-benar mendekati dan berhubung dengan penduduk, serta mendengar (kebimbangan mereka).
“Saya rasa proses ini penting supaya kita boleh sama-sama mencari penyelesaian dan mencapai matlamat bersama-sama.”
Cik Hazlina serta seorang lagi muka baru PAP, mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Encik Dinesh Vasu Dash, kelihatan buat kali kedua bersama Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong – kali ini di kawasan Joo Chiat.
Ini sekali gus mengukuhkan jangkaan yang mereka akan bersaing dalam GE2025.
Turut hadir ialah AP GRC East Coast, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How dan Timbalan Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan.
Sebelum ini, dua muka baru itu menyertai lawatan ke Masjid Al-Ansar di Bedok pada 31 Mac.
Cik Hazlina pernah membantu AP MacPherson, Cik Tin Pei Ling, dan diperkenalkan secara rasmi kepada penduduk serta wartawan dalam lawatan di GRC Marine Parade pada 22 Mac.
Ini juga lawatan kedua Encik Tong bersama AP GRC East Coast selepas kawasan Joo Chiat yang diwakilinya dipindahkan ke GRC East Coast daripada GRC Marine Parade, menyusuli perubahan dalam laporan sempadan bagi GE2025.
Dua lagi AP GRC East Coast, Dr Mohamad Maliki Osman dan Cik Cheryl Chan, tidak hadir.
Mengulas mengenai Cik Hazlina dan Encik Dinesh, Encik Heng berkata mereka berdua mempunyai pengalaman berguna bukan sahaja untuk East Coast, malah seluruh Singapura.
Ini penting apabila Singapura melalui dunia yang lebih mencabar, tambahnya, sambil merujuk kepada perang perdagangan dan teknologi sejagat.
“Dinesh telah menyumbang banyak kepada AIC… dan kerana usia penduduk Singapura semakin meningkat, saya rasa kita memerlukan orang yang mempunyai hati untuk warga emas kita.
“Untuk Hazlina pula, beliau pernah terlibat dalam media sebelum ini… dan kita perlu mendekati penduduk secara berkesan kerana kita akan memasuki masa yang lebih bergelora pada tahun-tahun mendatang,” jelas Encik Heng.
Tambahnya, ini lebih-lebih lagi terdapat risiko serius sistem perdagangan global dan rantaian bekalan global akan disusun semula dan berpecah belah.
Tentang penyerapan kawasan Joo Chiat ke dalam GRC East Coast, Encik Tong menyifatnya sebagai satu proses semula jadi kerana kedudukannya yang bersebelahan.
“Demografi kami serupa, kami perlu menjaga warga tua, menangani isu pengasuhan warga emas, dan mencipta peluang sepadan dengan apa yang diharapkan oleh golongan muda,” kata Encik Tong.
Encik Dinesh, yang mengunjungi beberapa Pusat Penuaan Aktif (AAC) di GRC East Coast, berharap untuk membawa kemahiran baru dan idea segar bagi membantu penduduk di sana, terutamanya warga emas dan penjaga mereka.
“Saya rasa beban penjaga bukan kecil, terutamanya jika mereka mempunyai keluarga muda dan warga emas dalam rumah yang sama,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg