Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung, yang merupakan menteri utama GRC Sembawang, memuat naik video di laman sosialnya pada 21 April mendedahkan senarai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di sana pada pilihan raya umum 2025 (GE2025).
Video yang dimuat naik di laman Facebook, Tiktok dan juga Instagram itu memaparkan Encik Ong bersama dua muka baru PAP: Encik Ng Shi Xuan dan Encik Gabriel Lam. Ini adalah kali pertama dalam GE2025 bakal calon didedahkan melalui video di media sosial.
Pasukan itu juga merangkumi Cik Mariam Jaafar dan Encik Vikram Nair yang merupakan sebahagian daripada pasukan PAP yang diketuai Encik Ong yang memenangi GRC Sembawang pada 2020.
Kapsyen video itu menyatakan: “5 individu, 1 pasukan. Satu Sembawang”
Video seminit itu diakhiri dengan tangkapan gambar lima individu itu berpakaian putih.
Pada GE2020 lalu, pasukan PAP di Sembawang menewaskan Parti Solidariti Nasional (NSP) dengan 67.29 peratus undi. Pada tahun 2020, PAP menampilkan Encik Ong, Encik Vikram, Cik Mariam, Dr Lim Wee Kiak dan Cik Poh Li San.
NSP, yang diketuai Encik Spencer Ng, berkata mereka akan bertanding GRC itu sekali lagi. Parti Demokratik Singapura (SDP) adalah parti lain yang turut mengumumkan akan bertanding di Sembawang.
Menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya bulan lalu, pertumbuhan pengundi menyaksikan penubuhan SMC Sembawang West daripada GRC Sembawang, yang akan mempunyai 133,919 pengundi pada pilihan raya akan datang.
Cik Poh menyelia kawasan undi Sembawang West berikutan pilihan raya sebelum ini. Dr Chee Soon Juan dari Parti Demokratik Singapura (SDP) telah mengumumkan penyertaannya bertanding di Sembawang West pada 23 Mac.
Encik Ng dan Encik Lam kedua-duanya adalah usahawan, yang telah diperkenalkan oleh Encik Ong sebelum ini di acara kemasyarakatan di Sembawang sejak sekurang-kurangnya akhir bulan lalu.
Encik Ng, 35, ialah pengarah syarikat bateri Powermark Battery & Hardware. Beliau sebelum ini menjadi sukarelawan di MacPherson SMC selama 10 tahun, memperjuangkan isu berkaitan belia.
Encik Lam, 42, ialah ketua pegawai operasi syarikat pemindahan Shalom International Movers. Beliau merupakan sukarelawan di Chong Pang selama lima tahun, dan sebelum ini berkongsi dengan media pengalamannya di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di Sembawang sejak beberapa tahun lalu.
Pada acara masyarakat akhir bulan lalu, Encik Ong menyifatkan dua muka baru itu sebagai “sangat istimewa”.
“Mereka berdua menjalankan syarikat mereka. Mereka mencipta peluang perniagaan. Mereka mesti melawan persaingan, memenangi pelanggan dan menjaga pekerja,” katanya.
Awal bulan ini, Encik Ong berkata ia adalah satu “bentuk penghormatan” untuk memberitahu penduduk tentang identiti calon pilihan raya seawal mungkin, walaupun proses memuktamadkan barisan mengambil masa.
Jurucakap GRC Sembawang berkata video yang disiarkan di media sosial Encik Ong bukanlah pengumuman rasmi mengenai jadual terakhir. Sidang akhbar akan diadakan di Beaulieu House pada 22 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg