Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mariam gesa penduduk pilih pemimpin tunjuk komitmen berkhidmat

Apr 30, 2025 | 11:03 PM
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar menggesa penduduk agar mengekalkan pasukan pemimpin yang telah menunjukkan komitmen berterusan pada rapat bagi SMC Sembawang West pada 30 April.
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar menggesa penduduk agar mengekalkan pasukan pemimpin yang telah menunjukkan komitmen berterusan pada rapat bagi SMC Sembawang West pada 30 April. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE BERITA HARIAN SINGAPURA

Program M Kuasa Tiga di Woodlands (M³@Woodlands) bukan sekadar satu inisiatif tetapi satu gerakan yang telah membantu keluarga, menyokong golongan belia, dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan meraih manfaatnya, kata calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, semasa sesi rapat sempena Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 30 April.

Rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi SMC Sembawang West itu diadakan di Sekolah Rendah Evergreen.

Cik Mariam, 48 tahun, turut menekankan pentingnya kesinambungan usaha mendekati setiap lapisan masyarakat kerana ia telah membina asas kukuh menerusi inisiatif seperti M³ dan kariah, yang bukan sahaja membantu masyarakat tetapi juga melahirkan pemimpin muda serta menyemai semangat gotong-royong dalam dunia moden.

“Kita hidupkan semangat kekampungan dalam dunia moden,” katanya, sambil menekankan bahawa peranan Anggota Parlimen (AP) PAP bukan sekadar sebagai pengurus estet, seperti yang sering dikritik sesetengah pihak pembangkang.

“Setiap pelan dan penambahbaikan dibuat kerana anda suarakan keperluan itu kepada kami, melalui lawatan rumah ke rumah, Sesi Bertemu Penduduk (MPS), e-mel dan media sosial. Semua ini menjadikan kami lebih peka terhadap pengalaman dan aspirasi sebenar anda,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa penduduk agar mengekalkan pasukan pemimpin yang telah menunjukkan komitmen dan perkhidmatan berterusan di kejiranan masing-masing, termasuk calon PAP bagi SMC Sembawang West, Cik Poh Li San.

Cik Poh, 49 tahun, akan berdepan dengan calon pembangkang, iaitu, Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, yang bertanding di SMC Sembawang West, yang baru dibentuk, menyusuli semakan sempadan bagi GE2025.

Cik Poh, dalam hujahnya pada sesi rapat yang sama, pula menegaskan bahawa pemimpin yang dipilih harus benar-benar memahami keperluan penduduk, dan bukannya menjadikan kawasan tersebut sebagai rancangan sandaran untuk masuk Parlimen.

“Ini bukan bilik darjah, dan Sembawang West bukan kajian kes. Kehidupan di sini nyata, keperluan kita nyata. Kemajuan kita tidak boleh ditangguhkan untuk beri peluang kepada seseorang belajar sambil bekerja,” kata Cik Poh, yang telah berkhidmat bersama PAP sejak 2020.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa seseorang yang datang ke kawasan itu tanpa dukungan kumpulan akar umbi atau hubungan dengan masyarakat tempatan, layak untuk mewakili penduduk hanya kerana sempadan politik berubah.

“Cuba fikirkan apa yang akan berlaku kepada Sembawang West jika kita serahkan kepada seseorang yang belum pernah berkhidmat di sini, tidak mempunyai hubungan dengan penduduk, dan perlu mengambil masa yang panjang untuk memahami keperluan serta selok-belok kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan dan juga pemimpin pasukan PAP di GRC Sembawang, Encik Ong Ye Kung, turut hadir dan memberi peringatan kepada pengundi agar tidak terpedaya dengan retorik pembangkang yang sering timbul ketika pilihan raya.

“Pembangkang tahu dasar-dasar kita kukuh dan telah diuji masa. Sebab itu, mereka nyatakan, tak mengapa jika calon mereka masuk Parlimen atau jadi menteri pun, sebab perkhidmatan awam akan terus berjalan seperti biasa,” katanya.

Namun, Encik Ong, 55 tahun, menambah sistem pemerintahan tidak boleh bergantung semata-mata kepada penjawat awam. Apa yang lebih membimbangkan, katanya, ialah jika pembangkang menjadi terlalu dominan di Parlimen hingga menjejas keberkesanan pentadbiran.

“Saya amat bimbang jika pembangkang terlalu kuat sehingga menyebabkan kelumpuhan dalam sistem pemerintahan kita,” kata Encik Ong.

Justeru itu, Encik Ong menyeru agar pengundi meneliti dan menilai dengan teliti setiap calon yang bertanding, khususnya mereka yang bercita-cita untuk membentuk dasar negara dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg