Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mariam: Lebih penting AP dapat pikul amanah, laksanakan tanggungjawab

Apr 28, 2025 | 9:48 PM
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, menekankan tentang keberkesanan Anggota Parlimen (AP) jauh lebih penting daripada kedudukan mereka sebagai AP sepenuh masa atau sambilan, sewaktu berhujah di rapat PAP bagi GRC Sembawang di lelapang bersebelahan Sun Plaza pada 28 April.
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, menekankan tentang keberkesanan Anggota Parlimen (AP) jauh lebih penting daripada kedudukan mereka sebagai AP sepenuh masa atau sambilan, sewaktu berhujah di rapat PAP bagi GRC Sembawang di lelapang bersebelahan Sun Plaza pada 28 April. - Foto ST

Keberkesanan seorang Anggota Parlimen (AP) dalam melaksanakan amanahnya serta menyelesaikan masalah itu jauh lebih penting daripada kedudukannya, sama ada sebagai AP sepenuh masa atau sambilan.

Menegaskan demikian dalam rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berlangsung di lelapang bersebelahan Sun Plaza pada 28 April, calon PAP di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, 48 tahun, berkata:

“Tidak begitu penting sama ada seorang AP bekerja sepenuh masa atau sambilan sahaja sebab yang penting adalah sama ada AP tersebut berkesan dan mempunyai asas yang kukuh untuk menyelesaikan masalah serta memberikan hasil (yang diinginkan).

“Menjadi seorang AP sepenuh masa tidak sama dengan menjadi individu yang berkesan dalam amanahnya.”

Cik Mariam, seorang rakan kongsi kanan di Boston Consulting Group, salah satu daripada tiga firma perunding cemerlang di dunia, mengeluarkan kenyataan ini sebagai respons kepada hujah Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, dalam rapat partinya di lelapang bersebelahan Sun Plaza pada 27 April.

Menurut Dr Chee, calon SDP akan menjadi AP sepenuh masa jika dipilih, dan mendakwa bahawa mereka akan mengatasi AP PAP dalam menguruskan majlis bandaran dan membangkitkan isu-isu penting di Parlimen.

Dengan menyerang sebilangan AP PAP, yang mempunyai kerjaya sepenuh masa, Dr Chee mempertikaikan bagaimana mereka boleh menjalankan tugas sebagai AP sambilan sambil menerima pendapatan sekitar $16,000 sebulan.

Beliau berkata bahawa ‘sesuatu pekerjaan sebenar’ memerlukan AP untuk menghabiskan waktu kerja sepenuh masa di kawasan undi di mana mereka diamanahkan untuk jaga.

Menurutnya lagi, ia bukan hanya tugasan pada hujung minggu, terutamanya di kawasan seperti SMC Sembawang West, tempat beliau (Dr Chee) bertanding menentang AP PAP, Cik Poh Li San.

Cik Mariam menegaskan bahawa rakyat Singapura memerlukan AP yang memberikan hasil, bukan hanya mencatat waktu kerja yang panjang.

“Kami berhubung dengan penduduk kami. Kami memahami cabaran mereka. Kami menyelesaikan perkara,” tegasnya lagi.

Menolak idea bahawa beliau adalah seorang ‘yes-woman’ (sentiasa mengiyakan arahan pemimpin atasan PAP), Cik Mariam berkata dirinya dan AP Melayu/Islam lain di PAP sering menyuarakan keprihatinan masyarakat di Parlimen.

Beliau memberi contoh bagaimana mereka adalah antara yang pertama mengemukakan isu konflik Gaza dan membantu mengumpul lebih $300,000 berupa bantuan kemanusiaan.

Cik Mariam juga menggariskan tiga inisiatif yang sedang dilakukannya di kejiranan jagaannya.

Beliau mengumumkan rancangan membuka cawangan kedua Store@Woodlands berhampiran Kampung Admiralty untuk memudahkan warga emas perolehi barangan runcit secara percuma.

Cik Mariam memperkenalkan siri pemerkasaan belia, ‘Youth Adulting’, bagi melengkapi penduduk muda dengan kemahiran hidup dan berjanji akan menyediakan biasiswa baru untuk golongan muda yang menyumbang kepada masyarakat.

Selain itu, beliau juga berhasrat melancarkan Program Sokongan Penjaga, yang memberi tumpuan kepada usaha memberi golongan penjaga rehat sementara daripada tugas menjaga anggota keluarga yang sakit atau warga emas dalam keluarga, lantas menekankan komitmennya untuk mengemukakan penyelesaian praktikal bagi keperluan harian penduduk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg