Program sokongan kesihatan sosial dan masyarakat bagi penduduk di GRC Sembawang dijangka diperkukuh melalui pengembangan inisiatif sedia ada.
Ini antara perancangan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, sekiranya beliau diberi peluang terus berkhidmat di kawasan itu.
Mengulas lanjut selepas acara tahunan Karnival Kesihatan pada 20 April, beliau menyatakan hasrat menyumbang dengan meningkatkan akses kepada bantuan dan kehidupan sihat, khususnya bagi warga emas dan keluarga berpendapatan rendah.
“Saya mahu memudahkan penduduk, terutamanya warga emas atau mereka yang mengalami masalah fizikal, mengakses perkhidmatan kami.
“Ini bermakna membawa bantuan lebih dekat kepada mereka,” terang Cik Mariam.
Salah satu rancangan utamanya melibatkan pembukaan cawangan kedua Sport Woodlands, inisiatif jangkauan masyarakat yang kini beroperasi di Blok 852 Woodlands Street 83.
Menurutnya, cawangan baru itu dicadang dibuka di satu kawasan yang belum ditetapkan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk yang menghadapi cabaran mobiliti.
Dalam ruang kesihatan, Cik Mariam juga berhasrat mengembangkan Kelab Kesihatan Woodlands, yang pada masa ini menjalankan lima kegiatan tetap – daripada senaman dalam rumah kepada sesi berjalan kaki dan trekking.
“Kesihatan bukan sahaja tentang rawatan, bahkan pencegahan dan kekal aktif sebagai satu komuniti. Lebih terangkum program kita, lebih sihat dan bahagialah penduduk kita.
“Saya berharap dapat memperkenalkan tawaran kesihatan baru seperti yoga, membolehkan lebih ramai penduduk mengambil bahagian tanpa mengira umur atau kemampuan,” tambahnya.
Selain itu, Cik Mariam juga menekankan kepentingan penglibatan belia, terutamanya dalam ekonomi yang berkembang hari ini.
Di bawah Siri Dewasa Belia, penduduk muda disokong dalam bidang seperti pembangunan kerjaya, kesihatan mental, celik kewangan dan hubungan peribadi.
Beliau berkata: “Anak muda hari ini hadapi banyak ketidaktentuan. Kita mahu bantu mereka bukan sahaja cari kerja, malah berkembang dari segi emosi dan sosial.”
Dengan perancangan ini, Cik Mariam berharap ia akan “terus memperkukuh semangat kejiranan dan kesejahteraan masyarakat di Woodlands”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg