Ada minat dalam kalangan penduduk di GRC Sembawang untuk mendapat perwakilan minoriti daripada pihak pembangkang, kata bakal calon Parti Demokratik Singapura (SDP) di GRC Sembawang, Encik Damanhuri Abas.
Menjawab pertanyaan Berita Minggu, beliau melahirkan harapan agar minat ini diteruskan apabila tiba Hari Mengundi nanti.
“Kami berharap kami dapat lihat… perubahan undi minoriti terhadap pembangkang, kerana ini akan menguntungkan kumpulan minoriti, kerana isu-isu yang tidak ditangani akan dapat diketengahkan,” ujarnya
Beliau berkata demikian semasa pelancaran slogan kempen SDP – ‘Berkembang Maju, Bukan Sekadar Bertahan’ – di Blok 257 Bangkit Road, pada 19 April.
Beliau ditemani seorang lagi bakal calon GRC Sembawang, Encik Alfred Tan, dan Setiausaha Agung parti, Dr Chee Soon Juan.
Lokasi itu merupakan sebahagian daripada SMC Bukit Panjang – salah satu Kawasan Undi Perseorangan (SMC) yang bakal ditandingi pengerusi parti, Dr Paul Tambyah, seperti yang diumumkan pada 23 Mac.
Merujuk kepada slogan tersebut, Encik Damanhuri berkata mengurangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kos memiliki perumahan awam dan perbelanjaan perubatan antara perkara yang akan diperjuangkan SDP dalam kempen Pilihan Raya Umum (GE2025).
Ini kerana kos sara hidup yang meningkat menjadi keprihatinan rakyat, kata beliau lagi.
“Kos sara hidup merupakan antara isu genting dalam GE2025. Kita merasakan keperitan kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.
Encik Damanhuri berkata parti itu mengusulkan untuk mengurangkan GST daripada 9 peratus kepada 7 peratus, di samping mengecualikan barangan keperluan harian daripada cukai tersebut.
Mengurangkan GST boleh membantu rakyat memperuntuk wang cukai itu untuk dibelanjakan bagi keperluan lain, tambah beliau.
Mengenai perumahan awam pula, Encik Damanhuri mengetengahkan usulan SDP, iaitu pasaran bukan terbuka bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), yang menurutnya “mengurangkan kos pemerolehan tanah dan sekali gus mengurangkan harga flat BTO”.
Ini di samping mengurangkan perbelanjaan perubatan, yang menurut beliau akan dilakukan dengan tertumpu pada kehidupan gaya sihat.
Encik Damanhuri pernah menyuarakan hasrat untuk bersara daripada arena politik menerusi satu hantaran Facebook pada Mac 2023, tetapi tampil untuk menjadi bakal calon GRC Sembawang.
Beliau sebelum ini berkata pentingnya untuk mempunyai suara alternatif daripada masyarakat Melayu.
Di samping Encik Damanhuri dan Encik Tan, tiga lagi bakal calon bagi GRC Sembawang ialah Naib Pengerusi parti, Encik Bryan Lim; Timbalan Ketua Dasar parti, Dr James Gomez, dan Bendahari parti, Cik Surayah Akbar.
Menjawab soalan mengenai urusan SDP dengan Parti Perpaduan Nasional (NSP) – yang turut melahirkan hasrat bertanding di GRC Sembawang – Dr Chee berkata ia “terus mengekalkan saluran komunikasi terbuka” untuk mencari jalan penyelesaian.
Setakat ini, SDP telah mengumumkan ia akan bertanding di sekurang-kurangnya dua GRC – Sembawang dan Marsiling-Yew Tee – dan dua SMC, iaitu Bukit Panjang dan Sembawang West.
Dalam GE2020, SMC Bukit Panjang merupakan antara kerusi yang paling sengit dipertandingkan, dengan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Liang Eng Hwa, berdepan Dr Tambyah.
PAP berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan 53.73 peratus undi.
Encik Liang dijangka sekali lagi bersaing dengan Dr Tambyah bagi merebut kerusi itu pada GE2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg