Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Perbincangan politik berbaur kaum, agama membimbangkan

Apr 29, 2025 | 9:24 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengingatkan rakyat bahawa keamanan dan keharmonian tidak seharusnya dianggap remeh, dan beliau memberi amaran tentang risiko perbincangan yang memecahbelahkan masyarakat.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengingatkan rakyat bahawa keamanan dan keharmonian tidak seharusnya dianggap remeh, dan beliau memberi amaran tentang risiko perbincangan yang memecahbelahkan masyarakat. - Foto ST

Perbincangan berbaur perkauman atau keagamaan tidak lagi kedengaran di rapat pilihan raya, namun ia masih tersebar di Internet dan perkara ini “membimbangkan”, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

“Ini menunjukkan bahawa apabila racun mula disebarkan, ia akan terus merebak,” kata Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Bercakap dengan media pada 29 April, di luar sebuah pasar raya di Tampines Street 81, semasa lawatan bersama calon pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Tampines, yang turut dihadiri Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, Encik Masagos berkata beberapa penduduk telah menyuarakan kebimbangan mereka semasa beliau melakukan kunjungan rumah ke rumah, lapor The Straits Times (ST).

“Terutama (penduduk) warga emas, mereka pernah melalui rusuhan perkauman. Ada antara mereka yang menangis dan berkata mereka tidak dapat tidur malam,” tambahnya.

Sambil mengingatkan bahawa keamanan dan keharmonian tidak seharusnya dianggap remeh, beliau memberi amaran tentang risiko perbincangan yang memecahbelahkan masyarakat.

“Ia seperti api gambut – membara di bawah tanah. Ia merebak dan kemudian muncul di tempat lain.

“Ia sukar dikenalpasti, dan saya tahu perkara ini kerana saya pernah mengurus isu jerebu. Apinya tidak boleh dilihat... dan kita akan menanggung akibatnya,” kata Encik Masagos.

Dalam wawancara yang sama, Encik Lee mengkritik kenyataan yang dibuat oleh calon-calon Parti Pekerja (WP) semasa rapat pilihan raya parti itu pada 28 April, mengenai Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang mengetuai pasukan PAP di GRC Punggol.

Walaupun Encik Lee enggan mengulas secara terperinci dan berkata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong mungkin akan berkata sesuatu mengenainya kelak, beliau menyifatkan tindakan pihak pembangkang itu sebagai “amat dikesali” dan “tidak wajar” kerana membuat serangan peribadi.

Daripada membincangkan isu atau meneliti kepentingan rakyat Singapura, Encik Lee berkata, pihak pembangkang lebih menumpukan usaha kepada menyerang individu yang mewakili parti pemerintah.

“Saya berharap rakyat Singapura dapat melihat perkara ini dengan jelas dan akan memilih parti yang akan mewakili kepentingan mereka serta mampu membawa negara maju ke hadapan.

“Dan cara (membuat) serangan peribadi ini bukan cara yang tepat untuk maju ke depan.”

Encik Lee juga membidas penjelasan WP mengenai mengapa mereka enggan mengundi dalam Rang Undang-Undang untuk meminda undang-undang yang membolehkan pemerintah menyekat cadangan penjualan Income Insurance kepada syarikat insurans Jerman, Allianz.

Pada 28 April, Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, memberitahu wartawan di Tampines bahawa parti itu enggan mengundi kerana perubahan undang-undang secara tiba-tiba boleh menjejas kestabilan perniagaan di Singapura.

Beliau berkata, untuk meluluskan undang-undang yang mempengaruhi transaksi yang sedang berjalan, langkah yang betul adalah membawa perkara itu ke jawatankuasa Parlimen untuk memahami bagaimana undang-undang itu mungkin mengganggu pihak yang terjejas. 

Encik Lee menyifatkan penjelasan itu sebagai “alasan” dan berkata: “Anda diberikan keputusan ini. Anda perlu membuat pilihan. Adakah anda bertindak dan melakukan perkara yang betul, atau apakah anda hanya menggelengkan kepala, memberikan penjelasan umum yang rumit dan membiarkannya, kemudian berkata, ‘Maaf, ia tidak dapat dielakkan?’”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg