Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos seru rakyat kekal bersatu meski beza pendapat

Lumrah dalam masyarakat bercanggah pandangan tetapi cara tegur satu sama lain perlu beradab
Apr 16, 2025 | 4:08 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyeru rakyat Singapura bersatu walaupun terdapat perbezaan pendapat, supaya dapat melangkah ke hadapan sebagai satu negara.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyeru rakyat Singapura bersatu walaupun terdapat perbezaan pendapat, supaya dapat melangkah ke hadapan sebagai satu negara. - Foto ST

Perbezaan pendapat dan ketegangan sekali-sekala adalah lumrah dalam mana-mana masyarakat, namun Singapura mampu terus maju jika rakyatnya memilih untuk bersatu, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Demikian ditekankan Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, semasa sidang media pengumuman calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Ia diadakan di dewan serba guna estet Tampines GreenVines, Blok 640 Tampines Street 62, pada 16 April.

Ketika menjawab pertanyaan sama ada isu berkenaan mantan Anggota Parlimen Dicalon (NMP), Encik Calvin Cheng, baru-baru ini bakal menjejas pengundian dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam untuk GE2025, Encik Masagos berkata:

“Saya mengikuti apa yang telah dinasihatkan melalui kemaafan yang diberi Ustaz Pasuni Maulan dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan kepada Encik Calvin Cheng supaya ia jangan terus menjadi sesuatu yang memecahbelahkan masyarakat kita.”

Isu itu merujuk kepada hantaran Facebook Encik Cheng pada 13 Mac, yang mengkritik kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat.

Encik Cheng juga berkata beliau akan “menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza”, dengan syarat “mereka tidak akan kembali” ke Singapura.

Pada 9 April, Encik Cheng meluahkan rasa sesal yang mendalam atas kenyataan yang dibuatnya di media sosial yang telah mencetus kemarahan dan menyakiti masyarakat Islam.

“Satu-satunya cara Singapura sentiasa berjuang melalui apa jua krisis, adalah kebersatuan kita dalam masyarakat dan juga dalam negara kita.

“Kebersatuan itulah yang beri kekuatan kepada kita dan sebabnya kita mempercayai satu sama lain,” jelas Encik Masagos.

Beliau juga menekankan bahawa perpaduan telah membolehkan masyarakat Melayu/Islam di Singapura, yang hanya merangkumi sekitar 650,000 orang, untuk membina masjid-masjid megah dan mengumpul dana sehingga $100 juta setahun.

“Inilah bukti kebersatuan yang mendatangkan kekuatan,” ujarnya.

Walaupun begitu, Encik Masagos mengakui bahawa perselisihan faham boleh berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Namun, adab dan kesantunan dalam cara menegur satu sama lain perlu diperhatikan melalui pendekatan yang berbudi bahasa dan halus, tambahnya.

“Kita boleh bercanggah pendapat antara satu sama lain tetapi jangan sampai kita menyinggung perasaan antara satu sama lain. Begitulah cara masyarakat Melayu/Islam menangani isu-isu dan perbezaan pendapat.

“Asatizah kita yang paling dihormati telah menerima penyesalan Encik Cheng mengenai isu itu dan kita harus melangkah ke hadapan, kerana kita mempunyai banyak perkara untuk dicapai bersama.

“Kadar residivisme dalam masyarakat Melayu/Islam 20 tahun lalu sekitar 45 peratus, kini ia sekitar 25 peratus kerana masyarakat kita bekerjasama untuk sampai ke tahap ini… bersatu adalah bagaimana kita menjadi kuat,” kongsi Encik Masagos.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru agar penduduk tidak lupa bahawa Singapura adalah negara majmuk dan kepercayaan antara kaum dan agama harus sentiasa dipupuk dan dipelihara.

“Singapura hanya boleh wujud dengan harmoni dan kedamaian tidak boleh wujud tanpa harmoni,” tegas Encik Masagos.

“Satu-satunya cara Singapura sentiasa berjuang melalui apa jua krisis, adalah kebersatuan kita dalam masyarakat dan juga dalam negara kita. Kebersatuan itulah yang beri kekuatan kepada kita dan sebabnya kita mempercayai satu sama lain.” 
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg