Dengan Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) kian menjelang, parti-parti politik di seluruh negara sedang mempergiatkan usaha untuk menawan hati pengundi dalam apa yang dijangka menjadi salah satu pertandingan paling sengit dalam sejarah politik Singapura.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) kini berhadapan dengan parti-parti pembangkang yang giat menawarkan visi alternatif mereka untuk masa depan Singapura kepada rakyat Singapura.
GE2025 juga menyaksikan kembalinya rapat pilihan raya yang diadakan secara fizikal, setelah ditiadakan semasa GE2020 yang lalu disebabkan Covid-19.
Kali terakhir Singapura berpeluang menyaksikan rapat secara fizikal adalah pada GE2015 – yang diadakan berikutan pemergian Perdana Menteri pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew.
Namun, di sebalik persaingan yang semakin sengit, Profesor Undang-Undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan berkata PAP berjaya menjalankan kempen yang terukur dan berkesan setakat ini, dan telah dapat menyampaikan mesej utamanya tanpa bersikap terlalu defensif.
“Bagi PAP, ia adalah mengenai meletakkan pasukan terbaik, dengan rekod prestasi yang terbukti, untuk memimpin Singapura dalam dunia yang tidak menentu.
“Pada asasnya, ia ingin mendapatkan mandat yang kukuh dan memilih seberapa ramai calonnya, termasuk meletakkan kepimpinan 5G,” kata Dr Tan.
Di tengah-tengah kempen PAP adalah tumpuan kepada pembaharuan kepimpinan dan kestabilan negara.
PAP sedang menggesa pengundi untuk menyokong generasi pemimpin seterusnya – yang sering dirujuk sebagai “pasukan 5G” – untuk membimbing Singapura melalui persekitaran global yang semakin tidak menentu, kata Dr Tan.
Bercakap pada rapat PAP pada 26 April, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pasukan PAP yang lemah akan menyukarkan partinya untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan berkesan dalam tempoh lima tahun akan datang apabila Singapura menghadapi begitu banyak cabaran sejagat.
PM Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP, bertanya: “Adakah anda benar-benar mahu kehilangan menteri yang sedang berkhidmat serta calon-calon baru yang berpotensi menjadi generasi pemimpin seterusnya untuk anda?
“Anda telah melihat bagaimana saya dan pasukan saya memimpin anda pada saat-saat paling gelap pandemik Covid-19 untuk mengemudi negara ke arah keselamatan.
“Anda bergantung kepada kami apabila ia paling penting dan anda boleh bergantung kepada kami sekali lagi, tidak kira apa jua yang akan datang,” kata PM Wong.
Zamil Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Teo Kay Key, berkata mesej PAP kepada pengundi ialah ia adalah parti terbaik untuk mengemudi Singapura melalui masa yang tidak menentu, dan memerlukan mandat yang kuat untuk melakukannya dengan berkesan.
Beliau menambah memandangkan parti itu mempunyai rekod prestasi sebagai parti pemerintah yang terbukti berkesan, pengundi akan mengambil kira perkara itu apabila mereka keluar mengundi pada 3 Mei.
“Tetapi kebimbangan mengenai kos sara hidup agak berleluasa di lapangan, dan (PAP) benar-benar perlu memberikan jaminan untuk isu-isu ini,” kata Dr Teo.
Bersetuju, Dr Tan berkata isu-isu harian masih menjadi isu asas di mana tema kempen menyeluruh diperjuangkan oleh parti-parti politik.
Tambahan pula, beliau berkata PAP juga perlu menangani “mesej-mesej” oleh parti pembangkang secara kolektif dan keinginan para pengundi yang melihat sistem politik yang lebih pelbagai dan berdaya saing.
“Bagi pembangkang, khususnya Parti Pekerja (WP), mereka mendakwa kepentingan Singapura akan dijaga dengan lebih baik oleh sistem politik yang lebih “seimbang” daripada sistem dominan satu parti,” kata Dr Tan.
Justeru, Dr Tan menambah, walaupun kempen PAP telah dijalankan dengan agak lancar, parti itu perlu memastikan ia dapat mengatasi daya tarikan bagi sistem pemerintahan yang kurang didominasi oleh PAP.
Tempoh berkempen bagi GE2025 akan berakhir pada 1 Mei, 11.59 malam dan Hari Bertenang dijadualkan pada 2 Mei. Rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 3 Mei.
“
“Bagi PAP, ia adalah mengenai meletakkan pasukan terbaik, dengan rekod prestasi yang terbukti, untuk memimpin Singapura dalam dunia yang tidak menentu. Pada asasnya, ia ingin mendapatkan mandat yang kukuh dan memilih seberapa ramai calonnya, termasuk meletakkan kepimpinan 5G.”“
Tetapi kebimbangan mengenai kos sara hidup agak berleluasa di lapangan, dan (PAP) benar-benar perlu memberikan jaminan untuk isu-isu ini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg