Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP belum putuskan calon NCMP

May 4, 2025 | 7:03 PM
NCMP, GE2025, Sylvia Lim, Pritam Singh
Pengerusi Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim (tengah), memberitahu media pada 4 Mei beliau yakin akan peluang yang terbentang selepas GE2025 sebagai pembaharuan dalam kepimpinan dalam parti WP. - Foto BH oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Parti Pekerja (WP) dijangka ditawarkan dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) menyusuli keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). 

Ini berikutan pencapaian undian tertinggi oleh calon WP di kawasan undi perseorangan (SMC) Jalan Kayu dan GRC Tampines dalam kalangan calon yang tewas.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) semasa perarakan kemenangan di Pusat Makanan Bedok Reservoir di Blok 630 Bedok Reservoir Road pada 4 Mei, Ketua WP, Encik Pritam Singh, berkata partinya belum memutuskan siapa yang bakal diangkat sebagai NCMP. 

Encik Pritam berkata keputusan mengenai calon NCMP akan dibincangkan dalam mesyuarat parti akan datang. 

Pengumuman akan dibuat apabila parti selesai mempertimbangkan calon sesuai, kata beliau.

Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, berkata beliau melihat peluang pembaharuan dalam kepimpinan dalam parti berkenaan.

“Saya telah lama berkecimpung bidang (politik) ini dan saya dapat lihat peluang yang terbentang untuk kami. 

“Jika dilihat pada 10 Anggota Parlimen (AP) yang dipilih, tiga daripada mereka adalah ‘muka baru’ yang belum ke Parlimen sebelum ini,” kata Cik Lim.

Tiga anggota ‘muka baru’ WP itu ialah Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Fadli Fawzi dan Encik Kenneth Tiong.

Cik Lim berkata, mereka dijangka memanfaatkan peluang ini untuk menunjukkan keupayaan masing-masing dan menyumbang kepada rakyat Singapura secara menyeluruh.

“Seperti yang diketahui, kami mungkin ditawarkan dua kerusi NCMP. Namun, parti kami (WP) belum membuat keputusan mengenainya,” kata beliau.

Dalam GE2025, WP berjaya mendapat peratusan tinggi di SMC Jalan Kayu dan GRC Tampines, meskipun tidak menang. 

Calon baru parti itu di SMC Jalan Kayu, Encik Andre Low, tewas kepada calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Ng Chee Meng, dengan memperoleh 48.53 peratus undian. 

Di GRC Tampines, pasukan WP meraih 47.37 peratus undian – kalah kepada pasukan PAP dalam perlawanan empat penjuru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg