Calon Parti Pekerja (WP), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, merupakan satu-satunya muka baru dalam pasukan yang akan bertanding di GRC Sengkang dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Bagaimanapun, beliau sebenarnya ‘orang lama’ di kawasan undi itu.
Beliau telah dilihat di daerah Compassvale sejak 2023, membantu merancang lawatan ke rumah, Sesi Bertemu Penduduk (MPS) dan acara masyarakat seperti pengagihan bubur Ramadan dan sesi berbuka puasa.
Ini susulan kes melibatkan mantan Anggota Parlimen (AP) GRC itu, Cik Raeesah Khan, yang meletak jawatan pada 2021 selepas mengaku berbohong kepada Parlimen.
Penglibatan Encik Abdul Muhaimin dalam WP pula lebih lama – sejak 2019 – selepas beliau menawarkan diri untuk berkhidmat setelah mendapati dirinya ‘selari’ dengan nilai yang dipegang parti pembangkang itu.
Ini kerana lulusan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu telah bekerja sebagai Pengurus Kanan Hartanah di bawah Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) sejak beliau tamat pengajian pada 2015, dan melihat sendiri kegigihan WP mengendalikan GRC Aljunied dan SMC Hougang di bawah jagaannya, serta cabaran yang dihadapi.
“Di AHTC, pada awalnya ada banyak audit yang dijalankan dan ada banyak ketidaksamaan yang kita boleh bandingkan dengan majlis bandaran lain.
“Dan seperti yang Encik Pritam Singh (Setiausaha Agung WP) katakan juga, ada beberapa perkara yang diberikan kepada kami agak lewat seperti projek peningkatan, peningkatan lif…
“Disebabkan itu, saya fikir, mengapa penduduk seperti kurang dilayan jika mereka berada dalam kawasan undi yang dipegang parti pembangkang? Saya mula rasakan, di manakah keadilan bagi semua penduduk?
“Saya mahu menolong lebih banyak dengan menjadi relawan bagi WP,” kata Encik Abdul Muhaimin, 36 tahun, sambil menambah keadaan telah bertambah baik dalam beberapa tahun kebelakangan.
Apabila beliau menyertai WP, anak sulung dalam keluarga empat beradik itu memutuskan untuk berkhidmat di kawasan selain GRC Aljunied atau SMC Hougang, agar tidak berlaku percanggahan dengan pekerjaannya bersama AHTC.
Encik Abdul Muhaimin menghubungi Cik Lee Li Lian yang pernah menjadi AP bagi SMC Punggol East, yang kemudian menghubungkannya dengan relawan di kawasan itu.
Kemudian bagi GE2020, apabila GRC Sengkang dibentuk, beliau terlibat dalam kempen WP dan juga menjadi ejen mengira dan ejen mengundi.
Pada waktu itu, beliau sudah bekerjasama dengan pasukan WP yang bertanding di GRC itu bagi GE2020.
Bagi GE2025, Encik Abdul Muhaimin dan tiga anggota sedia ada iaitu Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua membentuk pasukan WP yang cuba mempertahankan GRC Sengkang daripada dimenangi pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Pasukan PAP di GRC itu terdiri daripada mantan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min; Cik Theodora Lai; Profesor Madya Dr Elmie Nekmat dan Cik Bernadette Giam.
Encik Abdul Muhaimin akur pasukan PAP juga kuat, namun beliau memberi tumpuan kepada apa yang perlu beliau lakukan sebagai calon WP.
“Saya cuba mendekati seramai mungkin penduduk dalam waktu yang singkat ini.
“Saya telah melakukan lawatan ke rumah sebelum kempen bermula, tetapi masih ada banyak blok yang perlu saya kunjungi untuk menjangkau ke seramai mungkin penduduk dan cuba memahami isu yang mereka hadapi.
“Ini agar jika saya dipilih, saya boleh menyelesaikan isu-isu itu,” katanya.
Berkongsi kelebihan yang dimiliki pasukan WP di GRC Sengkang, Encik Abdul Muhaimin berkata mereka mempunyai kelebihan sebagai pasukan penyandang dengan Encik Chua, Dr Lim dan Cik He yang telah mencatat prestasi baik di Parlimen.
“Saya mempunyai anggota pasukan yang kuat, dan saya harap saya dapat melengkapi mereka dengan menyumbang ilmu dan pengetahuan saya, lebih-lebih lagi dari segi pengurusan bandar.
“Saya juga berharap dapat berjuang bagi masyarakat Melayu/Islam di GRC Sengkang yang mungkin terabai sepanjang tiga tahun kebelakangan,” katanya.
Encik Abdul Muhaimin telah berumah tangga dengan seorang pegawai perkhidmatan awam dan sedang menanti kelahiran cahaya mata sulungnya, seorang bayi perempuan, pada Julai.
Beliau menerima pengajiannya di Sekolah Menengah Tanjong Katong dan Maktab Rendah Tampines sebelum ke NTU.
Pada GE2020, pasukan WP menawan GRC Sengkang dengan kemenangan tipis 52.12 peratus.
“
“Saya fikir, mengapa penduduk seperti kurang dilayan jika mereka berada dalam kawasan undi yang dipegang parti pembangkang? Saya mula rasakan, di manakah keadilan bagi semua penduduk? Saya mahu menolong lebih banyak dengan menjadi relawan bagi WP.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg