Nadia: Elak politik memecah belah masyarakat, utamakan perpaduan
Nadia: Elak politik memecah belah masyarakat, utamakan perpaduan
Nadia: Elak politik memecah belah masyarakat, utamakan perpaduan
Meskipun pelbagai pandangan perlu dihormati, rakyat Singapura harus mengelak politik yang memecah belahkan masyarakat dan sebaliknya mengutamakan perpaduan, kata calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin.
Berucap semasa rapat umum PAP di Sekolah Rendah Fern Green pada 27 April, Cik Nadia menggariskan ketegangan yang akan sentiasa wujud yang mencetuskan konflik jika tidak dikawal.
“Acara rapat umum politik bukan hanya untuk merangsang emosi semata.
“Jika kita ingin berjaya dalam dunia yang semakin berpecah ini, kita mesti menolak politik yang mengasingkan rakyat Singapura,” ujar beliau.
Dengan itu, beliau menyentuh tentang keunikan Singapura di mana rakyat daripada pelbagai latar belakang boleh bertutur dalam bahasa yang sama, saling membantu, dan menghormati amalan unik dalam kawasan kejiranan.
Mengimbas kembali penggal politik beliau bersama PAP sejak GE2020, Cik Nadia turut berkongsi usaha parti tersebut dalam menangani pelbagai isu, termasuk bantuan kemanusiaan di tengah konflik global.
“Baik dari segi isu kos sara hidup, akses kepada perumahan, mahupun isu-isu global seperti bantuan kemanusiaan bagi rakyat Palestin di Gaza, kami telah membangkitkan isu-isu tersebut di Parlimen,” kata Cik Nadia.
Namun, beliau menegaskan peranan Anggota Parlimen (AP) untuk terus memperjuangkan isu-isu setempat.
“Memegang peranan dalam bidang politik adalah satu amanah bagi membentangkan isu-isu penduduk dan menyuarakan suara rakyat.
“Sebagai AP yang dipilih oleh rakyat Singapura, kita tidak boleh sesekali melupakan isu-isu masyarakat di tanah air sendiri,” ujar beliau.
Dengan itu, beliau mengingatkan bahawa politik bukan sekadar “pentas” bagi memenuhi cita-cita peribadi atau mengetengahkan agenda sendiri.
“Pilihan Raya ini adalah tentang masa depan kita dan generasi akan datang.
“Oleh itu, adalah penting bagi rakyat Singapura memilih pemimpin yang bertanggungjawab serta mampu menyuarakan pelbagai pandangan, kebimbangan dan harapan masyarakat,” tambahnya.
Semasa rapat tersebut, Cik Nadia ditemani anggota PAP lain yang baru-baru ini disahkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Selain Cik Nadia, pasukan PAP yang bertanding di GRC Ang Mo Kio terdiri daripada Encik Darryl David; Cik Jasmin Lau; Encik Victor Lye, yang pernah bertanding di GRC Aljunied, dan pasukan itu diketuai oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Calon-calon PAP lain yang turut menyampaikan ucapan masing-masing semasa rapat tersebut, termasuk Encik Ng Chee Meng, Dr Lam Pin Min, Encik Henry Kwek, dan Encik Yip Hon Weng.

