Mantan pegawai kanan perkhidmatan awam, Cik Jasmin Lau, dan pengasas syarikat teknologi kewangan pengurusan aset, Encik Victor Lye, akan menyertai pasukan GRC Ang Mo Kio yang diketuai Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pasukan itu turut dianggotai Encik Darryl David, 54 tahun, dan Cik Nadia Samdin, 35 tahun, yang telah menggalas amanah sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio pada penggal lalu.
Cik Lau dan Encik Lye bakal menggantikan Cik Ng Ling Ling, 53 tahun, dan Encik Gan Thiam Poh, 61 tahun, yang akan berundur daripada politik.
Demikian diumumkan Encik Lee dalam satu sidang media di cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Teck Ghee pada 19 April.
Cik Lau, 42 tahun, adalah mantan Timbalan Setiausaha (Dasar) di Kementerian Kesihatan (MOH).
Beliau bertanggungjawab menyelaras ehwal tenaga kerja, pembiayaan, serta aspek kawal selia sistem penjagaan kesihatan.
Encik Lye, 63 tahun, pula ialah Ketua Eksekutif sebuah syarikat teknologi kewangan pengurusan aset yang berteraskan kecerdasan buatan (AI).
Beliau pernah menjadi sebahagian pasukan PAP bagi GRC Aljunied yang tewas kepada Parti Pekerja (WP) dalam GE2015 dan GE2020.
“Pasukan PAP telah lama menyuarakan pelbagai isu nasional di Parlimen dan menyumbang kepada perbahasan yang bermakna demi penambahbaikan estet.
“Kami giat turun padang, bekerjasama rapat dengan penduduk untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka,” kata Encik Lee, 73 tahun.
Menurut Encik Lee, usaha menaik taraf kawasan kejiranan secara berterusan di GRC Ang Mo Kio telah dilakukan pasukannya termasuk dalam memperbaharui flat dan lif serta membangun taman baru dan rangkaian pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas.
Encik Lee yakin anggota baru pasukan itu akan membawa idea serta semangat baru dalam usaha memberi khidmat kepada rakyat, seiringan dengan pemimpin mapan dan berpengalaman sepertinya.
Pasukan baru itu telah dilihat bersama di Hougang Village, yang merupakan sebahagian daripada GRC Ang Mo Kio pada 13 April lalu.
Encik Lee turut merakam penghargaan kepada Cik Ng dan Encik Gan atas sumbangan mereka mempertingkat kemudahan di kawasan masing-masing.
“Saya amat menghargai segala sumbangan yang telah mereka curahkan kepada penduduk estet ini,” ujarnya.
Cik Nadia pula berharap penduduk akan terus menantikan pembaharuan yang diperkenalkan dalam Pelan Induk AMK TC pada 15 April lalu, yang akan terus memberi tumpuan kepada golongan muda hingga warga emas.
Beliau turut menyifatkan GE2025 sebagai peristiwa bersejarah yang berlaku dalam tempoh pergolakan dunia.
“Lima tahun selepas krisis Covid-19, kita sekali lagi mendapati diri kita berada dalam suasana global yang tidak menentu.
“Sambil menghadapi cabaran ini, kami berharap penduduk dapat lihat sendiri komitmen, keupayaan dan kebolehan pasukan PAP dalam mengemudi keperluan warganegara Singapura,” kata Cik Nadia.
GRC Ang Mo Kio merupakan kubu kuat PAP yang diketuai Encik Lee.
Ia kekal sebagai GRC terbesar dengan 161,494 pengundi untuk GE2025.
Mereka telah meraih 71.91 peratus undi ketika menentang Parti Pembaharuan (RP) pada GE2020.
Pertarungan tiga penjuru dijangka berlaku di GRC Ang Mo Kio, antara PAP, Parti Bersatu Singapura (SUP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) pada pilihan raya 3 Mei, kecuali salah satu parti pembangkang memilih untuk menarik diri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg