Naratif asing berasas kaum, agama gugat keharmonian S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naratif asing berasas kaum, agama gugat keharmonian S’pura

Pemimpin masyarakat tekankan perpaduan antara kaum tidak boleh diambil ringan
Apr 26, 2025 | 9:21 PM

Naratif asing berasas kaum, agama gugat keharmonian S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ELD
Pemimpin masyarakat daripada pelbagai kaum menekankan usaha membina perpaduan antara kaum di Singapura tidak boleh diambil ringan, dan rakyat perlu berwaspada terhadap pengaruh luar yang boleh memecahbelahkan masyarakat, terutama ketika pilihan raya. - Foto fail

Campur tangan asing dalam politik Singapura, terutama menerusi penyebaran naratif berasaskan kaum dan agama, boleh menggugat keharmonian masyarakat umum di sini, kata pemimpin masyarakat daripada pelbagai kaum.

Mereka menekankan usaha membina perpaduan antara kaum di Singapura tidak boleh diambil ringan dan rakyat perlu berwaspada terhadap pengaruh luar yang boleh memecahbelahkan masyarakat, terutama ketika pilihan raya.

Pada 25 April, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), sebagai Penolong Pegawai Pengurus Undi, telah mengeluarkan Arahan Pembetulan kepada syarikat Meta, untuk melumpuhkan akses pengguna Singapura kepada beberapa Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) yang diterbitkan di Facebook oleh warga asing semasa tempoh pilihan raya.

Satu kenyataan bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), berkata mereka telah mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) setelah mengenal pasti beberapa warga asing yang cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain, berkata sudah dilihat di negara lain bagaimana keharmonian sosial boleh terjejas dengan cepat jika politik dipengaruhi agenda luar.

“Pilihan raya membawa pelbagai pendapat dan itu sesuatu yang sihat, tetapi ia juga boleh mendedahkan kita kepada maklumat salah secara besar-besaran, terutamanya daripada sumber asing yang mungkin mahu mengambil kesempatan atas perbezaan kita dan menimbulkan perpecahan kaum atau agama.

“Pengaruh asing ini tidak mencerminkan realiti kehidupan di Singapura, justeru kita mesti terus melindungi dan memelihara keharmonian sosial kita,” katanya.

Beliau menambah rakyat perlu berpegang pada realiti kehidupan bersama di Singapura dan tidak terpedaya dengan naratif yang tidak mencerminkan pengalaman sebenar masyarakat tempatan.

Sentimen itu turut dikongsi Naib Pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid.

Beliau berkata kepada BH bahawa campur tangan asing itu mampu memberi kesan kepada masyarakat Melayu/Islam di sini, tentang bagaimana mereka akan dinilai oleh masyarakat lain.

“Ia memberi kesan kepada kedua-dua pihak kerana ia menunjukkan bahawa terdapat perpecahan dalam masyarakat dan ini akan mewujudkan jurang serta persepsi yang sangat negatif terhadap masyarakat Singapura secara keseluruhan.

“Apabila masyarakat bukan Melayu/Islam lihat daripada sudut pandangan luar, mereka mungkin beranggapan situasi ini sesuatu yang sangat berbahaya dan mereka tidak mahu perkara seperti ini berlaku.

“Ia juga akan menjejaskan perkembangan dan kemajuan seterusnya,” tambahnya.

Beliau menambah menerusi penilaiannya, beliau dapati terdapat dua kumpulan pendapat yang berbeza mengenai isu campur tangan itu.

Menurutnya, ada sesetengah pihak yang berpendapat keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu dihentikan.

Ada juga yang melihatnya sebagai kemungkinan agenda politik menjelang pilihan raya.

Namun perkara utama yang patut dilakukan adalah memelihara perpaduan dan keharmonian di Singapura, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Aktiviti India (IAEC) di kelab masyarakat, atau dikenali sebagai Narpani Pearavai, Encik Ravindren Ganasen, berkata rakyat Singapura tidak boleh leka terhadap keharmonian yang dinikmati hari ini.

“Kita hanya mempunyai 3.5 juta rakyat dan amat mudah untuk kita berpecah belah.

“Hanya seorang individu perlu membuat kenyataan yang salah dan sekumpulan orang mendengarnya.

“Dari situ, tidak mustahil ia bertukar menjadi pergaduhan yang buruk.

“Keadaan boleh merebak dan akhirnya kita mungkin kehilangan segala yang telah kita bina selama ini,” ujarnya kepada BH.

Bagi seorang pemimpin masyarakat Cina, Encik Ho Nai Chuen, beliau tidak menginginkan situasi ketegangan antara kaum pada 1960an berulang.

Beliau yang berusia 69 tahun, berkata:

“Saya sendiri telah mengalami rusuhan kaum atau isu perkauman pada 1960an.

“Saya benar-benar dapat merasakan bahawa jika perkara seperti itu berulang dan kembali ke sejarah yang pernah saya alami, ia akan memberi kesan yang sangat buruk,” ujarnya.

Dalam satu wawancara bersama BH, beliau menambah penting untuk rakyat Singapura bersatu, memahami akibat pengaruh kuasa asing agar mereka tidak mempengaruhi politik di sini.

“Tahun ini (2025) ialah SG60 dan 60 tahun pembangunan boleh musnah akibat ketidakpercayaan, serta kuasa asing yang mempengaruhi politik dan kita tidak mahu perkara itu berlaku,” tambahnya.

Mengulas mengenai keseimbangan dalam mengutarakan pendapat di siaran langsung program ‘Jejak Kempen BH’, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berkata:

“Tentang bagaimana kita boleh menyuarakan pandangan, kita tidak boleh mempolitikkan agama… itu bermakna hak-hak masyarakat lain akan terganggu.

“Boleh berbincang, tetapi jangan cuba mengkritik seseorang itu berdasarkan identiti dan agama.

“Itu yang kita tidak mahu lihat dalam masyarakat.”

Menurutnya, perbincangan itu seharusnya bagi kebaikan umum, termasuk masyarakat Islam dan lain-lain juga.

Antaranya, isu umum serta perbincangan mengenai keberkesanan institusi-institusi yang menjaga hal masyarakat Islam.

“Pilihan raya membawa pelbagai pendapat dan itu sesuatu yang sihat, tetapi ia juga boleh mendedahkan kita kepada maklumat salah secara besar-besaran, terutamanya daripada sumber asing yang mungkin mahu mengambil kesempatan atas perbezaan kita dan menimbulkan perpecahan kaum atau agama.”
Encik Nassar Mohamad Zain, Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

“Apabila masyarakat bukan Melayu/Islam lihat daripada sudut pandangan luar, mereka mungkin beranggapan situasi ini sesuatu yang sangat berbahaya dan mereka tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Ia juga akan menjejaskan perkembangan dan kemajuan seterusnya.” 
Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid, Naib Pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

“Tentang bagaimana kita boleh menyuarakan pandangan, kita tidak boleh mempolitikkan agama… itu bermakna hak-hak masyarakat lain akan terganggu.  Boleh berbincang, tetapi jangan cuba mengkritik seseorang itu berdasarkan identiti dan agama. Itu yang kita tidak mahu lihat dalam masyarakat.”
Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak.

“Kita hanya mempunyai 3.5 juta rakyat dan amat mudah untuk kita berpecah belah. Hanya seorang individu perlu membuat kenyataan yang salah dan sekumpulan orang mendengarnya. Dari situ, tidak mustahil ia bertukar menjadi pergaduhan yang buruk. Keadaan boleh merebak dan akhirnya kita mungkin kehilangan segala yang telah kita bina selama ini.”
  Encik Ravindren Ganasen, Pengerusi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Aktiviti India (IAEC).

“Saya sendiri telah mengalami rusuhan kaum atau isu perkauman pada 1960an.  Saya benar-benar dapat merasakan bahawa jika perkara seperti itu berulang dan kembali ke sejarah yang pernah saya alami, ia akan memberi kesan yang sangat buruk. Tahun ini (2025) ialah SG60 dan 60 tahun pembangunan boleh musnah akibat ketidakpercayaan, serta kuasa asing yang mempengaruhi politik dan kita tidak mahu perkara itu berlaku.”
Encik Ho Nai Chuen, pemimpin masyarakat Cina.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg