Parti Pekerja (WP) berkata ia tidak mempunyai sebarang perjanjian, komitmen atau persetujuan dengan mana-mana pihak, termasuk Encik Noor Deros, untuk mendapatkan sokongan politik bagi calon-calonnya yang bertanding di Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini.
Merujuk kepada kenyataan bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya yang dikeluarkan pada 25 April dan laporan media, WP berkata:
“Dalam urusan kerja politik kami, WP bertemu pelbagai anggota kumpulan agama, tidak kira apa kaum atau agama. Pemimpin agama berbilang agama berkongsi pandangan dan pendapat yang pelbagai mengenai kehidupan awam di Singapura.
Dalam pertemuan dengan pemimpin agama lain di mana Noor Deros hadir, WP mengesahkan “tiada perjanjian, komitmen atau persetujuan dibuat dengan sebarang individu, termasuk Noor Deros, untuk mendapatkan sokongan politik untuk calon-calon WP”.
WP mengeluarkan kenyataan itu pada 26 April, sehari selepas kenyataan bersama dari Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD).
Dalam kiriman di Facebook sebelum ini, Encik Noor Deros, seorang guru agama rakyat Singapura yang kini menetap di Malaysia, mendakwa telah berbual dengan WP, dan menggesa parti itu untuk mengutamakan hak-hak dan keprihatinan masyarakat Melayu/Islam.
Beliau juga mendakwa telah bercakap dengan “kesemua calon-calon” WP, dan parti pembangkang itu telah “menyahut permintaan asatizah” untuk memperjuangkan permintaan dan tawaran bagi masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Encik Noor Deros menyatakan bahawa WP “mengambil serius” desakannya untuk “membawa ke Parlimen isu kongkongan dan pengawalan ke atas agama Islam dan pengamalannya di Singapura melalui Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dan institusi berkaitan seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)”.
Antara permintaannya yang lain termasuk menggesa WP dan calon pilihan raya lain untuk tidak memperjuangkan atau mempertahan apa-apa perkara berkaitan normalisasi LGBTQ+, dan mengambil pendirian tegas terhadap Israel serta mengiktiraf negara Palestin.
Dalam kiriman Facebook pertama itu, Encik Noor Deros berkata: ‘WP belum beri janji yang benar-benar konkrit, namun saya dan beberapa asatizah hargai kesediaan mereka berbincang dengan kami.”
Kiriman asal itu ditukil Encik Noor Deros lagi dalam kiriman susulan pada 25 April, Encik Noor Deros.
Ini selepas Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), sebagai Penolong Pegawai Pengurus Undi, mengeluarkan Arahan Pembetulan kepada syarikat Meta, untuk melumpuhkan akses pengguna Singapura kepada beberapa Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) yang diterbitkan di Facebook oleh warga asing semasa tempoh pilihan raya.
MHA dan ELD, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 25 April, berkata mereka telah mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) setelah mengenal pasti beberapa warga asing yang cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Catatan yang dikenakan arahan tersebut termasuk catatan Facebook oleh Bendahari Negara Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Iskandar Abdul Samad, yang menyatakan sokongan kepada beberapa calon yang sedang bertanding dalam GE2025.
Beliau berkongsi beberapa hantaran di Facebook yang menunjukkan sokongan kepada anggota-anggota Parti Pekerja (WP) seperti Encik Faisal Manap, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, Encik Sufyan Mikhail Putra, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, serta calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Damanhuri Abas.
Seorang lagi pengguna Facebook bernama ‘Zai Nal’, juga telah dikeluarkan Arahan Pembetulan susulan hantarannya yang menuduh beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam, dan mengatakan bahawa masyarakat Islam tempatan tidak memerlukan AP Melayu lain yang tidak mewakili pandangan mereka.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar, juga telah dikeluarkan Arahan Pembetulan yang sama kerana menyiarkan semula hantaran Facebook ‘Zai Nal’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg