Ada kemungkinan bagi GRC Ang Mo Kio, SMC Yio Chu Kang dan SMC Kebun Baru bekerjasama di bawah satu majlis bandaran dengan SMC terbaru, iaitu Jalan Kayu, kata pengerusi Majlis Bandaran Ang Mo Kio, Encik Darryl David.
Namun, kemungkinan ini akan diteroka hanya selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), ujar beliau.
Encik David, yang juga penasihat akar umbi GRC Ang Mo Kio, berkongsi demikian kepada media di luar acara pelancaran Pelan Induk AMK TC pada 15 Mac di Ang Mo Kio Central.
“Kami tidak akan tahu... sehingga selepas GE2025. Jika benar terdapat peluang... bekerjasama sebagai satu majlis bandaran, kami akan meneroka peluang itu,” katanya.
Laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac mengecilkan saiz GRC Ang Mo Kio memandangkan ia mempunyai bilangan pengundi yang besar, iaitu 190,800 orang.
Beberapa daerah mengundi GRC itu telah dikeluarkan untuk membentuk SMC Jalan Kayu yang baru.
Menjawab pertanyaan mengenai calon baru dalam GE2025, Encik David berkata beliau tidak pasti kerana ia masih awal, tetapi menambah bahawa pasukannya telah melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan penduduk, khususnya di kawasan Jalan Kayu.
“Sebagai satu pasukan Ang Mo Kio, kami telah lakukan yang terbaik untuk menjaga kawasan undi.
“Oleh kerana Jalan Kayu akan menjadi Kawasan Undi Perseorangan (SMC), (saya harap) pengundi di sana akan menghargai penjagaan yang kami berikan kepada mereka semasa mereka menjadi sebahagian keluarga Ang Mo Kio,” kata Encik David lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg