Nilai empati dorong pakar ortopedik berkhidmat kepada masyarakat
Nilai empati dorong pakar ortopedik berkhidmat kepada masyarakat
Nilai empati dorong pakar ortopedik berkhidmat kepada masyarakat
Empati menjadi asas bagi Dr Hamid Razak memahami cabaran yang dilalui seseorang individu dan nilai yang ingin beliau serlahkan sebagai muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Lebih-lebih lagi setelah hampir 17 tahun berkecimpung dalam dunia kesukarelawanan, di samping menjadi pakar ortopedik selama lebih 15 tahun, erti empati baginya “lebih daripada sekadar meletakkan diri dari kaca mata orang lain”.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) dalam sesi temubual bersama media pada 14 April, bapa tiga anak itu berkata:
“Sifat empati yang sebenar (bagi saya) adalah untuk terlebih dahulu mengakui saya tidak dapat rasakan apa yang orang lain rasakan apabila saya cuba memahami apa yang mereka alami.
“Saya menerapkan konsep empati ini kepada perkhidmatan masyarakat – semua penduduk adalah berbeza dan mempunyai keperibadian lain.”
Bersandarkan nilai ini, Dr Hamid, 39 tahun, antara lain mahu meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat dan membangkitkan isu-isu bersangkutan golongan isi rumah berisiko, sekiranya diberi mandat oleh penduduk GRC West Coast-Jurong West dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau merupakan antara lima anggota PAP yang akan bertanding dalam GRC itu.
Ini adalah kali pertama Dr Hamid bertanding sebagai calon parti selepas menjadi anggota PAP pada 2017.
Beliau tidak mendedahkan bila beliau diminta bertanding, tetapi beliau dilantik sebagai penasihat akar umbi kedua di Jurong Spring pada Ogos 2023.
Dr Hamid adalah seorang India Muslim yang boleh bertutur dalam semua bahasa rasmi Singapura – Tamil, Melayu, Cina dan Inggeris. Beliau telah dilihat bergiat aktif di kawasan itu sejak lewat 2023.
Taman Jurong pernah diterajui Encik Tharman Shanmugaratnam sebelum beliau berundur untuk bertanding jawatan presiden pada Julai 2023.
Menurut Dr Hamid, beliau terdorong berkhidmat kepada masyarakat dan menumpukan usahanya kepada isu literasi kesihatan dan isi rumah tanpa penampan, hasil pengalamannya menyumbang sebagai sukarelawan di lapangan.
Beliau menukil contoh interaksi bersama seorang penduduk di Taman Jurong yang kerap merungut mengenai sakit belakang yang dihadapi dan kerap tampil bagi meminta bantuan.
“Saya dan beberapa sukarelawan berjumpa dengan penduduk di rumahnya bagi memahami masalah yang dihadapinya.
“Saya dapati wanita itu mempunyai pemahaman terhad tentang keadaan kesihatannya dan bantuan yang boleh beliau dapatkan,” tambahnya.
Pengalaman seperti itu, ujarnya, memberi beliau kesedaran bagi meningkatkan tahap literasi kesihatan dalam diri individu.
Ini di samping isi rumah berisiko atau apa yang disifatkannya sebagai ‘isi rumah tanpa penampan’, kerana mereka lebih berisiko kehilangan sumber pendapatan langsung.
“Apabila sesuatu kejadian tidak diingini berlaku dalam isi rumah – contohnya jika satu-satu pencari rezeki mengalami komplikasi perubatan, masalah kesihatan – mereka hilang sumber pendapatan.
“Ini mungkin membuatkan mereka tersekat dan menjejas seluruh keluarga, termasuk kanak-kanak, pelajar atau orang tua yang sedang dijaga dan tinggal serumah. Jadi isi rumah tanpa penampan ini memerlukan perhatian khusus,” ujarnya.
Itu sebab pentingnya meningkatkan keupayaan golongan ini agar mereka mempunyai penampan, misalnya simpanan kewangan mencukupi, agar mereka dapat menempuhi ketidaktentuan yang berlaku dalam kehidupan.
“Sudah sekitar tujuh atau lapan tahun... dan baru-baru ini, saya rasa sudah tiba masanya bagi saya mengorak langkah seterusnya, kerana ada isu-isu yang bersemangat untuk diserlahkan,” kata Dr Hamid.

