Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Orak langkah ceburi politik daripada sekadar mengeluh

Mahu perjuang isu penjagaan warga emas; lebih pengiktirafan bagi asatizah setaraf guru kebangsaan
Apr 29, 2025 | 7:35 PM
Singapore, Singapura, election, pilihan raya, GE2025, Mohd Ridzwan Mohammad
Calon Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Mohd Ridzwan Mohammad, bertanding di GRC Tampines bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BH oleh KHALID BABA

Seperti warga Singapura yang lain, Encik Mohd Ridzwan Mohammad, mempunyai keprihatinannya sendiri tentang cara negara diurus.

Daripada “hanya mengeluh”, beliau memutuskan untuk menyertai politik.

Bagi Encik Ridzwan, 63 tahun, dunia politik merupakan satu jalan penyelesaian yang bukan sahaja memberinya ruang untuk bersuara, bahkan juga untuk mewakili anggota masyarakat lain.

“Politik merupakan sebahagian kehidupan. Ramai warga akan mengeluh – baik di kedai kopi mahupun alam siber.

“Saya pun terasa ingin mengeluh, tetapi saya fikir, kenapa tidak saya lakukan sesuatu?” katanya.

Beliau menyifatkan penyertaannya dalam bidang politik sebagai cara memperuntuk ‘me-time’, atau masanya sendiri setelah sibuk membesarkan anak-anaknya semasa usia mudanya.

Pada 2015, bapa dua anak itu menyertai Parti Perpaduan Nasional (NSP) sebagai relawan sebelum bertanding di GRC Tampines buat kali pertama dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2020.

Pada 2020, pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi 66.41 peratus, menewaskan NSP yang meraih 33.59 peratus.

Tanpa sedikit pun rasa serik, Encik Ridzwan tampil lagi dan akan bertanding buat kali kedua bagi GE2025.

Kali ini, NSP bukan hanya bersaing dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP), malah dicabar dengan kehadiran dua parti pembangkang lain iaitu Parti Pekerja (WP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Ditanya apakah perasaannya berada dalam persaingan empat penjuru di GRC Tampines, Encik Ridzwan tersenyum dan berkata beliau menyahut cabaran itu dengan positif meski akur ia bukan mudah.

“Pilihan ada pada tangan penduduk. Saya hormat keputusan mereka tetapi saya minta, berilah kami peluang kerana kami sudah lama di sini dari 1988,” kata Naib Presiden NSP itu.

Apa pun, beliau yakin tidak akan kecewa kerana percaya hasil pilihan raya akan datang bakal membantu NSP melakar strategi mereka selanjutnya.

Menyangkal dakwaan sebahagian penduduk bahawa NSP timbul hanya pada waktu pilihan raya, Encik Ridzwan, pengarah firma pembinaan dan kejuruteraan, berkata hakikatnya ialah partinya berusaha mendekati penduduk walau di luar waktu pilihan raya.

“Pertama, kami ke tempat yang dikunjungi ramai orang, contohnya tempat makan, pasar.

“Kedua, kami kunjung rumah ke rumah. Prinsip kami adalah apabila pintu tutup, kami tidak akan ketuk kerana kami hormat privasi mereka.

“Mungkin dari situ mulalah perbincangan orang ramai yang mereka ‘tak nampak’ kami,” ujarnya, yang menambah parti itu cuba menguar-uarkan kegiatan mereka di media sosial.

Mengenai isu yang ingin diperjuangkan, Encik Ridzwan berkata salah satunya ialah mengenai penjagaan warga emas.

Sebagai negara membangun, pemerintah sering menggalakkan pasangan untuk mempunyai ramai anak, tetapi pada sudut lain, Singapura juga mempunyai penduduk menua, kata datuk dua cucu itu.

Justeru, beliau berharap dapat mengetengahkan betapa pentingnya disediakan cuti penjagaan warga emas bagi golongan pekerja, jika perlu menjaga orang tua mereka.

Khusus bagi masyarakat Melayu/Islam pula, Encik Ridzwan berharap dapat memperjuangkan lebih pengiktirafan bagi golongan asatizah agar mereka dipandang setaraf dengan guru kebangsaan lain di Singapura.

Ditanya apakah yang mendorongnya untuk terus bertanding sebagai calon, Encik Ridzwan berkata:

“Kenangan yang paling manis adalah apabila penduduk kenal saya, sudi ajak saya makan secara santai kerana saya yakin mereka ikhlas.”

“Pilihan ada pada tangan penduduk. Saya hormat keputusan mereka tetapi saya minta, berilah kami peluang kerana kami sudah lama di sini dari 1988... Kenangan yang paling manis adalah apabila penduduk kenal saya, sudi ajak saya makan secara santai kerana saya yakin mereka ikhlas.”
Encik Mohd Ridzwan Mohammad, calon NSP bagi GRC Tampines.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg