Pada 3 Mei, seramai 2.75 juta pengundi di Singapura akan keluar mengundi untuk memilih para pemimpin masa depan negara.
Hari Mengundi telah diumumkan sebagai cuti umum, dan kesemua pusat mengundi di seluruh Singapura akan dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam.
Bagi mereka yang akan keluar mengundi, berikut adalah panduan dan perkara penting yang anda perlu tahu:
Hadir untuk mengundi
Anda mesti hadir sendiri untuk mengundi, dan hanya di pusat mengundi yang dinyatakan pada kad undi atau kad undi elektronik anda. Anda tidak boleh melantik seorang wakil untuk mengundi bagi pihak anda.
Pengundi seharusnya sudah menerima kad undi mereka melalui pos, selewatnya dua hingga tiga hari bekerja selepas Hari Penamaan Calon pada 23 April, sekiranya kawasan undi mereka dipertandingkan.
Kad undi tersebut seharusnya sudah sampai ke alamat kediaman terkini pengundi yang didaftarkan dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Pengundi juga boleh mengakses kad undi elektronik mereka melalui aplikasi mudah alih Singpass, yang boleh digunakan sebagai ganti kad undi fizikal.
Nama pengundi layak yang tidak mengundi akan dikeluarkan daripada Daftar Pengundi. Namun, mereka boleh memohon agar nama mereka disenaraikan semula dalam daftar tersebut, selepas pilihan raya, lapor The Straits Times.
Bawa kad undi atau kad undi elektronik, dokumen pengenalan diri
Bawa kad undi dan dokumen pengenalan diri anda yang asal – seperti kad pengenalan (NRIC) atau pasport anda – ke pusat mengundi. Salinan cetak tidak diterima.
Anda juga boleh menggunakan aplikasi mudah alih Singpass untuk mengakses kad undi elektronik anda dan menggunakannya sebagai ganti kad undi fizikal.
Usah bawa banyak barang dan fikir tentang pakaian anda
Elak membawa banyak barang ke pusat mengundi, kerana beg anda mungkin diperiksa atas sebab keselamatan. Kamera dan peralatan fotografi lain tidak dibenarkan dibawa ke pusat mengundi. Barang tajam juga dilarang.
Haiwan peliharaan dan kanak-kanak juga tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi.
Tiada kod pakaian khusus bagi pengundi, namun elak memakai pakaian atau lencana yang memaparkan simbol parti politik atau calon bertanding. Undang-undang melarang segala bentuk kempen dan aktiviti pilihan raya pada Hari Mengundi, kecuali proses mengundi.
Tandakan pilihan anda dengan cap-X pada kertas undi
Tandakan pilihan anda dengan jelas dengan dakwat cap-X pada kertas undi. Kemudian, lipat kertas undi dengan tanda pangkah menghadap ke dalam, dan masukkan kertas tersebut ke dalam kotak undi.
Ambil perhatian bahawa adalah satu kesalahan untuk meninggalkan pusat mengundi dengan membawa kertas undi.
Jika anda meninggalkan sebarang tandatangan atau membuat apa jua tanda pengenalan lain pada kertas undi anda, undi anda tidak akan dikira.
Jangan rosakkan, ubah atau tulis pada kad undi anda
Jika nama atau alamat pada kad undi anda tidak betul, jangan cuba ubah maklumat tersebut. Sebaliknya, hubungi Jabatan Pilihan Raya (ELD) atau kunjungi mana-mana kelab masyarakat atau balai rakyat untuk mendapatkan kad undi baru.
Jika ada kesilapan pada nama di kad undi anda, anda masih boleh pergi ke pusat mengundi yang ditetapkan pada Hari Mengundi untuk mengundi.
Bawa kad undi atau kad undi elektronik anda untuk memudahkan semakan oleh pegawai pilihan raya. Ini akan membantu mengurangkan masa menunggu anda di pusat mengundi.
Jangan bantu orang lain untuk undi
Menyamar sebagai pengundi lain adalah satu kesalahan.
Pegawai pilihan raya akan berada di setiap pusat mengundi untuk membantu pengundi yang memerlukan bantuan, contohnya, individu berkeperluan khas atau warga emas.
Jika pengundi tidak dapat menandakan kertas undi dengan sendiri, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pegawai pilihan raya, yang akan menandakan kertas undi mereka mengikut arahan pengundi, dan telah mengangkat sumpah untuk merahsiakan pilihan pengundi.
Pengundi yang kurang penglihatan akan diberikan stensil di pusat mengundi, supaya mereka dapat menandakan kertas undi tanpa bantuan.
Bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan, tempat khas untuk menurunkan penumpang dari kenderaan telah disediakan, berhampiran kawasan mengundi di pusat mengundi.
Kawasan mengundi adalah bebas halangan, dan kerusi roda disediakan untuk pengundi yang memerlukannya. Dalam kawasan mengundi, pengundi berkerusi roda diberi keutamaan beratur untuk menerima kertas mengundi.
Jangan ambil tahu bagaimana orang lain undi
Undian anda adalah rahsia. Begitu juga undian mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg