Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP kekal kuasai GRC Holland-Bukit Timah dengan 79.29% undi, tewaskan RDU

May 4, 2025 | 4:11 AM
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Holland-Bukit Timah, (dari kiri) Encik Christoper de Souza; Encik Edward Chia; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, meraikan kemenangan di Stadium Bukit Gombak pada 3 Mei.
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Holland-Bukit Timah, (dari kiri) Encik Christoper de Souza; Encik Edward Chia; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, meraikan kemenangan di Stadium Bukit Gombak pada 3 Mei. - Foto ST

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Holland-Bukit Timah mempertahankan kerusi mereka dengan mencatat 79.29 peratus undi, menewaskan pencabar baru, Parti Titik Merah Bersatu (RDU).

Kemenangan ini merupakan peningkatan daripada 66.36 peratus undi yang diraih pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), apabila pasukan sama yang diketuai Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, 64 tahun, berdepan dengan pasukan Parti Demokratik Singapura (SDP).

Ia juga merupakan pencapaian terbaik bagi GRC empat anggota itu, selain daripada kemenangan tanpa bertanding yang diperoleh pada 2006 ketika GRC ini kali pertama dibentuk. 

PAP memperoleh 60.08 peratus pada GE2011 dan 66.6 peratus undi GE2015.

Pasukan Dr Balakrishnan terdiri daripada Menteri Kanan Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, 50 tahun; peguam, Encik Christopher de Souza, 49 tahun; dan ahli perniagaan, Encik Edward Chia, 41 tahun.

Berucap kepada penyokong di Stadium Bukit Gombak selepas keputusan rasmi diumumkan, Dr Balakrishnan, berkata mereka amat terharu kerana dapat meraih mandat yang kukuh ini.

“Kami melihat kemenangan ini sebagai peluang untuk menegaskan semula komitmen kami kepada semua penduduk,” katanya.

Bercakap kepada The Straits Times (ST), Dr Balakrishnan berkata pilihan raya ini diadakan pada waktu dunia berada dalam keadaan ketidakpastian dan perubahan, dengan pengundi menyuarakan kebimbangan itu melalui undi mereka.

“Ia adalah peringatan untuk kita semua apabila keadaan menjadi sukar dan kita memerlukan pasukan yang telah dicuba dan terbukti, di mana kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan masa depan lebih cerah bagi generasi akan datang,” tambahnya.

Pencabar mereka dari RDU, yang memperoleh 20.71 peratus undi, terdiri daripada perunding kewangan, Encik Fazli Talip, 43 tahun; guru piano, Cik Emily Woo, 59 tahun; pembantu jurutera, Encik Sharad Kumar, 25 tahun; dan pengurus operasi, Encik Nizar Subair, 57 tahun.

Selain Encik Fazli, yang bertanding dalam GE2011 di GRC East Coast di bawah Parti Pekerja (WP), tiga anggota lain adalah muka baru dalam politik.

Selepas kekalahan itu, Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, memberitahu media:

“Kita harus menerima kehendak, suara, dan keputusan rakyat.”

Bercakap di ibu pejabat RDU di Ubi, beliau berkata mesej utama yang dibawa pulang oleh mereka adalah ada tempat untuk RDU dalam politik Singapura.

“Kami adalah parti politik yang agak baru, baru berusia lima tahun... Memandang ke depan sebagai sebuah parti, saya percaya kami mempunyai rancangan untuk berkembang,” kata Encik Ravi.

Meskipun RDU baru ditubuhkan pada 2020, parti ini telah meletakkan jumlah calon kedua terbanyak dalam pilihan raya kali ini dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Dalam usaha berkempen, pasukan PAP memberi tumpuan pada rekod prestasi mereka serta rancangan lima tahun untuk GRC Holland-Bukit Timah dan kawasan Bukit Panjang yang berdekatan, termasuk pembinaan pusat penuaan aktif baru dan kerja naik taraf Taman Kejiranan 5 Bukit Panjang.

Calon-calon RDU pula menyerlahkan isu ketidaksamaan dan mengemukakan cadangan utama parti mereka, termasuk mengurangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dari sembilan peratus kepada tujuh peratus, dan “Dividen Warganegara” – iaitu “pemindahan wang tanpa syarat” yang diberikan kepada semua warga Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg