Barisan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC Holland-Bukit Timah kekal sama, dan ia akan terus dipimpin Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, 64 tahun, dalam Pilihan Raya Umum (GE2025) akan datang.
Calon lain ialah Encik Christopher de Souza, 49 tahun, Encik Edward Chia, 41 tahun, dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, 50 tahun.
Bagi SMC Bukit Panjang pula, Encik Liang Eng Hwa, 61 tahun, yang sudah berkhidmat selama empat penggal, akan mempertahankan kedudukannya di kawasan undi itu.
Dalam satu taklimat media di hadapan Kolam Pang Sua pada 15 April, Dr Balakrishnan berkata kepimpinan pasukan itu kekal tidak berubah kerana pasukannya dikatakan mempunyai pengalaman yang sesuai menyusuli perbincangan bersama Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.
Beliau turut menekankan kekuatan pasukannya yang mempunyai gabungan individu yang berpengalaman serta pemimpin lebih muda.
“Christopher, contohnya, telah berkhidmat bersama kami sejak 2011. Apa yang kami bawa bukan sahaja pengalaman, tetapi juga kepelbagaian latar belakang — daripada keusahawanan sosial hinggalah ke penglibatan akar umbi. Dan kebanyakan kami masih bertenaga untuk terus berkhidmat,” kata Dr Balakrishnan.
Gabungan ini, tambah beliau, meletakkan pasukan itu dalam kedudukan yang kukuh menghadapi keperluan semasa dan cabaran masa depan.
Menggambarkan pendekatan kepimpinan PAP sebagai “berhati-hati, berhemah dan mantap,” Dr Balakrishnan berkata matlamatnya adalah untuk memastikan kesinambungan sambil menguruskan peralihan secara beransur-ansur.
“Kami tidak tergesa-gesa berubah semata-mata kerana ingin berubah. Kepastian dan kestabilan adalah penting bagi penduduk,” katanya.
Beliau turut menekankan hubungan erat pasukan dengan masyarakat setempat, yang disifatkan seperti “keluarga besar”.
“Kami kenal penduduk kami secara peribadi, kami tahu kisah mereka. Hubungan ini dibina menerusi komunikasi berterusan dan kehadiran kami. Kami hargai dan akan teruskan khidmat ini dengan penuh dedikasi,” ujar Dr Balakrishnan yang telah berkhidmat sekitar dua dekad di GRC itu.
Encik Liang, seorang pengarah pengurusan di DBS Bank, mengambil sikap pragmatik dan penuh hormat terhadap saingan pilihan raya, sambil mengakui persaingan sengit merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.
Kawasan GRC Holland-Bukit Timah dan SMC Bukit Panjang masing-masing telah menyaksikan pertandingan antara PAP dan SDP dalam tiga pilihan raya yang lalu.
Dalam GE2020, pasukan PAP di GRC Holland-Bukit Timah memenangi 66.36 peratus undi menentang pasukan SDP, yang turut disertai bekas pemimpin SingFirst, Encik Tan Jee Say.
Bukit Panjang pula merupakan antara kerusi yang paling sengit dipertandingkan dalam pilihan raya yang sama, dengan Encik Liang berdepan Dr Paul Tambyah. PAP berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan 53.73 peratus undi.
Encik Liang dijangka sekali lagi bertanding dengan pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Tambyah, yang telah melahirkan hasrat bertanding di SMC Bukit Panjang lagi.
Encik Liang menyifatkan Dr Tambyah sebagai “lawan yang hebat” dan bakal memberi saingan sengit di Bukit Panjang.
“Saya jangka pertandingan ini sangat sengit, dan kemenangan boleh pergi ke mana-mana pihak.
“Pilihan raya adalah sesuatu yang luar biasa dan saya akan lakukan yang terbaik bagi penduduk Bukit Panjang,” ujar Encik Liang.
Pada Julai 2023, Encik Liang disahkan menghidap kanser hidung tahap dua dan menjalani 33 sesi rawatan radioterapi sebelum disahkan pulih sepenuhnya oleh pihak perubatan. Beliau kembali menjalankan tugasnya sebagai Anggota Parlimen pada September 2023.
Apabila ditanya tentang kesihatannya, Encik Liang menjawab bahawa beliau telah menjalani pemeriksaan perubatan dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Beliau berkata: “Saya telah banyak mengubah gaya hidup saya. Kini saya hidup dengan lebih sihat. Saya lebih berhati-hati dalam pemakanan dan lebih kerap bersenam berbanding dahulu, jadi saya rasa jauh lebih bertenaga sekarang.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg