Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Pemerintah pastikan S’pura kekal stabil, harmoni meski ketidaktentuan global

Seru sentiasa hargai, lindungi semangat perpaduan di S’pura
Apr 13, 2025 | 4:52 PM
Perdana Menteri Lawrence Wong (tiga dari kiri) menyampaikan ucapan ringkas di acara ‘SG60 Raya Bersama’ di Bukit Panjang pada 13 April. Bersama beliau ialah AP SMC Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa (dua dari kiri), serta AP GRC Holland-Bukit Timah - (dari kiri) Encik Edward Chia; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; dan Encik Christopher de Souza.
Perdana Menteri Lawrence Wong (tiga dari kiri) menyampaikan ucapan ringkas di acara ‘SG60 Raya Bersama’ di Bukit Panjang pada 13 April. Bersama beliau ialah AP SMC Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa (dua dari kiri), serta AP GRC Holland-Bukit Timah - (dari kiri) Encik Edward Chia; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; dan Encik Christopher de Souza. - Foto ZAOBAO

Pemerintah akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan Singapura kekal stabil dan harmoni, walaupun dalam keadaan penuh ketidaktentuan ekoran perkembangan di peringkat global.

Menyatakan demikian dalam ucapannya di acara ‘SG60 Raya Bersama’ di Bukit Panjang pada 13 April, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata semangat perpaduan yang ada di Singapura sangat istimewa dan mesti sentiasa dihargai dan dilindungi.

“Kita tahu bahawa kita hidup dalam masa yang sangat sukar secara global.

“Perkembangan baru-baru ini telah membawa kepada pandangan yang sangat tidak menentu di dunia, tetapi kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk memastikan walaupun terdapat pergolakan... dan ketidaktentuan, Singapura akan sentiasa kekal sebagai harapan bagi kestabilan dan keharmonian,” kata Encik Wong.

Beliau melawat kawasan undi itu sebagai sebahagian daripada lawatannya ke kawasan undi berbeza di serata negara sejak memegang jawatan perdana menteri pada Mei 2024.

“Yang kita ada di sini berharga. Ia sangat istimewa kerana kita berbilang kaum, kita pelbagai, kita datang daripada latar belakang, budaya dan sudut pandangan berbeza, tetapi kita akan sentiasa menjadi satu Singapura.

“(Pemerintah) berharap untuk bekerjasama dengan anda semua, untuk terus maju bersama-sama sebagai satu negara, dan sebagai sebuah rakyat. Apa jua masalah di dunia, kami akan sentiasa memastikan bahawa kami dapat menjamin masa depan yang lebih cerah untuk anda dan orang tersayang anda,” tambahnya.

Encik Wong menghadiri acara di kawasan lapang dekat stesen LRT Pending itu bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah – Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; Encik Christopher de Souza; dan Encik Edward Chia – serta AP SMC Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa.

Acara itu, yang dihoskan oleh pertubuhan akar umbi GRC Holland-Bukit Timah dan Bukit Panjang, bertujuan menghimpunkan penduduk daripada latar belakang berbeza untuk memupuk ikatan masyarakat.

Sekitar 2,000 penduduk yang hadir di acara tersebut menikmati makanan, pakaian dan permainan Melayu tradisional.

Mereka turut dihiburkan oleh persembahan kumpulan silat dan kompang Kelab Masyarakat Bukit Panjang serta penyanyi setempat.

Acara itu turut menampilkan inisiatif masyarakat ‘Bukit Panjang Sedap!’, yang merupakan rangkaian perniaagaan dari rumah (HBB) di Bukit Panjang Town yang memaparkan peniaga makanan tempatan.

Sebelum ke acara itu, Encik Wong dan AP GRC Holland-Bukit Timah serta SMC Bukit Panjang turut berkunjung ke Masjid Al-Iman yang terletak berdekatan.

Mereka meninjau inisiatif ‘Pantri Masyarakat Kita’ masjid itu, yang sejak 2022 telah membantu lebih 250 keluarga dengan mengagihkan pelbagai barangan makanan dan keperluan rumah, termasuk biskut, minyak dan sabun pencuci baju.

Usaha itu dijalankan Masjid Al-Iman dengan sokongan GRO GRC Holland-Bukit Timah dan Bukit Panjang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg