Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mencatat kemenangan besar di kedua-dua GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Marymount, dengan memperoleh lebih 70 peratus undi.
Pasukan empat anggota di GRC Bishan-Toa Payoh, diketuai Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, telah meraih 75.21 peratus undi, menewaskan Parti Rakyat Singapura (SPP), yang memperoleh 24.79 peratus undi.
Secara keseluruhan, pasukan PAP itu menerima 66,137 undi, manakala SPP menerima 21,799 undi. Jumlah keseluruhan pengundi ialah 98,708 – termasuk 8,688 orang yang tidak mengundi – manakala 2,084 undi dilaporkan rosak.
PAP turut mencatat kemenangan di SMC Marymount, dengan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, meraih 14,868 undi atau 70.7 peratus daripada jumlah undi keseluruhan, menewaskan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang memperoleh 29.3 peratus undi, bersamaan 6,163 undi.
Daripada keseluruhan 21,282 undi, 251 undi ditolak, dan seramai 1,993 tidak mengundi.
Ini kali keempat pasukan PAP telah menewaskan calon-calon SPP di GRC Bishan-Toa Payoh, lapor The Straits Times (ST).
Pasukan PAP GRC Bishan-Toa Payoh terdiri daripada Encik Chee, 51 tahun; ketua penyelidikan pertukaran asing (FX) Maybank, Encik Saktiandi Supaat, 51 tahun; serta dua muka baru PAP – pengarah pertubuhan amal, Cik Elysa Chen, 41 tahun; dan usahawan sosial, Encik Cai Yinzhou, 35 tahun.
Selepas kemenangan itu diumumkan secara rasmi, Encik Chee mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir di Stadium Yio Chu Kang kerana memberi pasukannya “mandat yang jelas”.
“Kami akan bekerja keras untuk menunaikan janji kami dan meningkatkan kualiti hidup anda. Masih ada ruang untuk kami perbaiki. Saya dan pasukan akan terus mendengar maklum balas anda dan melakukan penambahbaikan, sedikit demi sedikit, tahun ke tahun,” kata Encik Chee.
Beliau turut memberitahu wartawan bahawa mulai minggu depan, pasukannya akan memulakan Sesi Bertemu Penduduk (MPS), aktiviti kemasyarakatan, lawatan ke pasar dan kunjungan rumah ke rumah.
Pasukan SPP pula terdiri daripada setiausaha agungnya, Encik Steve Chia, 54 tahun; pengerusi parti, Encik Melvyn Chiu, 45 tahun; serta dua muka baru iaitu eksekutif operasi, Encik Muhammad Norhakim, 31 tahun; dan pengurus operasi, Encik Lim Rui Xian, 37 tahun.
Dalam satu wawancara di luar Sekolah Perempuan Raffles (RGS) sejurus selepas kiraan sampel diumumkan, Encik Chia berkata partinya akan menilai keputusan yang diperoleh dan mempertimbangkan langkah seterusnya – termasuk bergabung dengan parti pembangkang lain, atau membubarkan dan membatalkan pendaftaran SPP.
Di SMC Marymount, Cik Gan, 50 tahun, berjaya mempertahankan kerusinya menentang calon PSP, ketua eksekutif sebuah firma perundingan risiko serantau, Encik Jeffrey Khoo, 56 tahun.
Cik Gan pertama kali bertanding di SMC Marymount pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), yang menyaksikan beliau memperoleh 55.04 peratus undi, menewaskan calon PSP, Dr Ang Yong Guan, yang meraih 44.96 peratus undi.
Dalam ucapan kepada para penyokong selepas keputusan diumumkan, Cik Gan berkata beliau “sangat terharu” atas kemenangannya dan akan bekerja keras untuk menambah baik estet Marymount serta membina sebuah masyarakat yang lebih kukuh dan penyayang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg