Membantu kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan, menyokong warga emas, dan membantu keluarga memerlukan merupakan antara pengalaman paling bermakna buat Encik Saktiandi Supaat sepanjang sedekad beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Bishan-Toa Payoh dari 2015 hingga 2025.
“Satu kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah apabila saya bertemu dengan kanak-kanak yang tidak bersekolah.
“Saya bertemu keluarga yang mana anak mereka tidak ke sekolah dan menghabiskan masa bermain di kolong blok. Setelah mengenali mereka dengan lebih mendalam saya dapati bahawa semangat mereka untuk belajar itu tidak wujud kerana tiada dorongan yang cukup,” kongsinya.
Kini, Encik Saktiandi bertanding bagi penggal ketiganya dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau berhasrat terus membina masyarakat Bishan-Toa Payoh yang inklusif, prihatin dan penuh semangat jika diberi peluang.
“Penduduk Bishan-Toa Payoh telah melihat kesungguhan saya berkhidmat kepada mereka. Saya sentiasa ikhlas mahu memperbaiki taraf hidup mereka dan menjadikan kawasan ini tempat di mana masyarakatnya inklusif, penyayang dan bertenaga dengan semangat kemasyarakatan,” katanya.
Beliau merupakan salah seorang daripada dua calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang masih kekal di GRC tersebut, bersama Encik Chee Hong Tat, dan disertai dua muka baru – Cik Elysa Chen dan Encik Cai Yinzhou – yang menggantikan Encik Ng Eng Hen dan Encik Chong Kee Hiong.
Menyentuh tentang dua rakan sepasukan barunya, beliau berkata: “Mereka tidak asing dari segi usaha kemasyarakatan. Kededuanya mempunyai latar belakang kukuh dalam bidang perusahaan dan keusahawanan sosial.”
“Pengalaman mereka dalam membantu masyarakat dan kemampuan mereka melaksanakan inisiatif baru, mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan di kawasan Bishan-Toa Payoh,” ujar Encik Saktiandi.
Beliau menjelaskan bagi mereka yang lebih berpengalaman, seperti diri beliau dan Encik Chee, mereka akan membimbing anggota baru mereka dari segi menyesuaikan diri sebagai wakil rakyat.
Apabila ditanya mengenai saingan daripada Parti Rakyat Singapura (SPP), Encik Saktiandi berkata mereka mempunyai hubungan baik antara kededua pihak dan menegaskan bahawa matlamat utama mereka ialah untuk memastikan kebajikan rakyat.
Pasukan SPP kali ini merangkumi Setiausaha Agung SPP, Encik Steve Chia; eksekutif operasi sektor logistik, Encik Muhammad Norhakim; pengerusi SPP, Encik Melvyn Chiu; dan pengurus operasi, Encik Lim Rui Xian.
Encik Norhakim dan Encik Lim merupakan muka baru di arena politik.
Pada GE2020, pasukan PAP menewaskan SPP dengan memperoleh 67.23 peratus undi.
Mengenai cadangan beberapa pihak pembangkang untuk menangguhkan atau membatalkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diketengahkan dalam GE kali ini, Encik Saktiandi menekankan kepentingan langkah itu.
“Hasil cukai ini akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan untuk membangunkan sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi.
“GST juga merupakan sumber pendapatan penting negara, bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga demi keperluan jangka panjang,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg