Langkah memberi keistimewaan kepada calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang tewas dalam Pilihan Raya Umum (GE) untuk menyandang jawatan di bawah naungan Persatuan Rakyat (PA) dianggap “agak pelik”, kata pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock.
Calon sedemikian dapat memanfaatkan kemudahan di bawah jangkauan PA – ini berbeza dengan pilihan raya di negara lain, dengan calon yang tewas biasanya tidak meraih faedah serupa itu, kata beliau.
Tanpa merujuk kepada mana-mana individu tertentu, Dr Tan berkata:
“Mereka (calon yang tewas) masih diberi keistimewaan menjadi pemimpin akar umbi – individu ini menggalas tanggungjawab yang PA telah orak (bagi mereka). Ini sangat unik.
“Di banyak negara, jika anda tewas, anda (menghormati keputusan) dan memberi laluan kepada anggota yang dipilih tetapi sistem kita membuat peruntukan bagi mereka.”
Calon GRC West Coast-Jurong West bagi PSP itu berkongsi demikian semasa menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) sebelum sesi lawatan ke kedai kopi Blok 964, Jurong West Street 91, pada 30 April.
Beliau ditemani barisan calon lain, iaitu Ketua Parti PSP, Encik Leong Mun Wai; Naib Pengerusi Pertama PSP, Cik Hazel Poa, Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.
Sebagai contoh, mantan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min, menggalas tanggungjawab sebagai Penasihat Akar Umbi bagi Pertubuhan Akar Umbi Sengkang.
Ini sungguhpun beliau merupakan salah seorang anggota PAP yang tewas kepada pasukan Parti Pekerja (WP) bagi GRC Sengkang pada GE2020.
Hal sedemikian turut dikongsi Encik Leong, apabila diminta mengulas mengenai kenyataan yang diutarakan dalam satu rakaman podcast yang disiarkan pada 28 April.
Dalam podcast itu, beliau menyatakan terdapat pendapat dalam kalangan warga Singapura setelah pengundi “dapat meraih manfaat daripada kededua parti” sekiranya mereka mengundi Anggota Parlimen (AP) daripada pihak pembangkang.
Merungkaikan kenyataan itu, Encik Leong berkata beliau sekadar menyampaikan apa yang diperkatakan rakyat Singapura.
Apabila warga Singapura mengundi AP pembangkang, calon PAP yang tewas menggalas jawatan pemimpin akar umbi sebagai contoh, lantas warga setempat boleh “menjangkakan calon itu untuk terus menyumbang kepada masyarakat”, katanya.
Menurut Dr Tan, aturan sebegitu mempunyai unsur agenda tersembunyi, kerana beliau mendakwa PA perlu melaksanakan fungsi yang dapat dijadikan alasan (ke atas usaha), yang telah disokong oleh pihak pemerintah.
“(Dengan) sistem ini, walaupun calon PAP kalah, mereka masih ada akses kepada semua kemudahan atau faedah (di bawah PA),” tambahnya.
Naratif itu pernah disangkal Dr Lam semasa majlis penampilan pasukan PAP bagi GRC Sengkang pada 13 April.
Menurut beliau, naratif itu kurang tepat kerana jika berlakunya percanggahan dasar atau pendapat antara dua parti, sukar bagi kededua pihak untuk bersepakat dan ia boleh menjejas kecekapan serta hasil penyelesaian bagi penduduk.
Sementara itu, Naib Pengerusi Pertama PSP, Cik Hazel Poa, mengulangi seruan agar hasil siasatan ke atas pertengkaran antara sukarelawan PAP dengan PSP pada Januari dikemukakan kepada umum.
Cik Poa, buat kali pertama, membangkitkan perkara itu dalam rapat pada 26 April, setelah beliau berkata pihak polis telah menyelesaikan siasatan susulan penyerahan laporan polis.
“Pihak kami telah membuat laporan polis mengenai siri pertengkaran yang berlaku, dengan Cik Low Yen Ling (calon PAP di SMC Bukit Gombak) membuat dakwaan sukarelawan PSP menampar sukarelawan PAP. Ini satu dakwaan yang berat,” ujarnya.
Kejadian itu berlaku pada 4 Januari, dengan kededua pihak mendakwa berlaku pertengkaran dan telah memberi penjelasan berbeza tentang apa yang berlaku.
Dalam hantaran di Facebook pada 8 Januari, Cik Low mendakwa sukarelawan PSP telah memulakan pertengkaran semasa lawatan menemui penduduk.
Seorang lelaki juga telah menakut-nakutkan seorang sukarelawan PAP dan menampar mukanya, kata beliau sambil menambah bahawa lelaki itu turut menyindir seorang lagi sukarelawan PAP.
Dakwaan itu berbeza daripada apa yang diceritakan anggota PSP dan calon GRC Chua Chu Kang, Encik S Nallakaruppan, dalam Facebook pada 4 Januari.
Beliau mendakwa sukarelawan PAP telah mula mengekori pasukan partinya di Goodview Gardens di Bukit Gombak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg