Parti Tindakan Rakyat (PAP) perlu memperbaharui pasukannya untuk terus menumpukan perhatian pada isu-isu penting bagi rakyat seperti perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan masa depan.
Ini dilakukan dengan membawa masuk individu yang berwibawa dan dapat berkhidmat dengan sepenuh hati.
“Dalam kalangan mereka, kami akan memupuk generasi pemimpin yang baru,” kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP dalam siaran politik parti (PPB) pada 25 April.
“Pasukan kami akan menggabungkan pengalaman dengan perspektif dan idea baru. Ia adalah satu pasukan segar untuk membawa Singapura ke depan,” tambahnya.
Menukil peristiwa pada 1965 apabila Singapura berpisah dari Malaysia dan pada 1968 selepas tentera British berundur dari Singapura, Encik Wong, berkata sama seperti pada waktu itu, siapa yang membentuk pemerintah kini adalah satu isu kewujudan dan bukan sekadar tentang politik.
“Ia mengenai sama ada kita boleh maju ke hadapan untuk hidup dalam keadaan dunia yang berubah,” katanya.
Encik Wong menambah misi PAP sejak mula lagi adalah untuk melindungi kedaulatan negara, mempertingkatkan kehidupan warga Singapura dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua.
“Selama lebih 60 tahun, kami berada di sisi anda. Komitmen kami teguh: untuk berkhidmat kepada anda, sokong anda, berdiri bersama anda. Anda akan sentiasa menjadi keutamaan dalam segala apa yang kami lakukan,” ujarnya.
Encik Wong berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemerintah telah melakukan lebih banyak untuk membantu warga menangani tekanan kos yang meningkat.
Kebimbangan itu bertambah berat disebabkan lonjakan inflasi global berikutan konflik di Ukraine dan Timur Tengah.
Justeru, Belanjawan 2025 menawarkan pakej sokongan menyeluruh termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), baucar SG60, bayaran tunai dan rebat bil api air.
Bagi menangani ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan masa kini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, ditugaskan mempengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura.
Namun, sedang pemerintah membantu warga setempat menangani keprihatinan ekonomi yang mendesak, Encik Wong berkata pemerintah PAP sentiasa memandang ke hadapan, untuk merancang dan mempersiapkan warga Singapura untuk menempuh masa depan.
Bagi kanak-kanak dan belia, pemerintah terus menyediakan pendidikan bermutu dan melengkapi mereka dengan kemahiran masa depan sambil mengurangkan tekanan berlebihan.
Bagi golongan dewasa yang bekerja, pemerintah memastikan pekerjaan yang baik dan kerjaya bermakna.
Pemerintah juga sedang melaksanakan inisiatif ke arah Singapura yang lebih sihat dan akan menyediakan sokongan kukuh untuk kanak-kanak dan keluarga lebih besar, serta memastikan perumahan awam mampu dimiliki.
“Kami mahukan sebuah Singapura di mana peluang terbuka luas dan tiada siapa yang ketinggalan. Sebuah Singapura di mana setiap pekerja dihargai, setiap usaha diiktiraf dan setiap rakyat diperkasa untuk mencapai impian mereka dan menjadi versi diri mereka yang terbaik,” kata Encik Wong.
“Semua ini mencerminkan aspirasi yang telah anda kongsikan bersama kami, termasuk melalui sesi-sesi Melakar Hala Tuju Singapura.
“Kami sedang berusaha gigih untuk menjadikan aspirasi ini satu kenyataan. Anda boleh yakini bahawa PAP akan menunaikan janji kami. Kami bukan sekadar membuat janji – kami merancang, bertindak dan melaksanakannya,” tambahnya.
Encik Wong berkata pemerintah akan terus berganding rapat dengan warga Singapura bagi mendengar dan mendapatkan maklum balas bagi melakar dasar-dasar negara.
Pemerintah mungkin tidak dapat menerima semua cadangan dan akan menjelaskan sebabnya.
“Setiap dasar hari ini dilakar berdasarkan pandangan dan keprihatinan warga Singapura.
“Dan kami akan melangkah lebih jauh – untuk melibatkan lebih ramai daripada anda dalam membentuk hala tuju masa depan kita,” katanya.
Siaran politik ini disampaikan dalam bahasa Melayu oleh Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
“
“Dalam kalangan mereka, kami akan memupuk generasi pemimpin yang baru. Pasukan kami akan menggabungkan pengalaman dengan perspektif dan idea baru. Ia adalah satu pasukan segar untuk membawa Singapura ke depan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg