Keupayaan pemerintah dalam memberikan hasil yang konsisten, bergantung kepada kesinambungan anggota pasukan yang berpengalaman dan memiliki kemahiran sesuai, tegas Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.
“Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah membentuk pasukan baru yang terdiri daripada gabungan pengalaman, serta bakal pemegang jawatan politik baru, yang akan membawa tenaga segar dan idea baru.
“Pihak pembangkang pula telah menyebarkan mitos bahawa tidak mengapa untuk mengundi lebih ramai daripada kalangan mereka dan kurang anggota PAP, dan keputusan yang sama tetap akan dapat dicapai.
“Ini tidak benar,” ujar Cik Indranee, yang bertanding di GRC Pasir Ris-Changi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau berpindah dari GRC Tanjong Pagar bagi memimpin pasukan GRC Pasir-Ris-Changi, setelah ketua pasukan sebelum ini, iaitu Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, mengumumkan persaraannya daripada politik.
Cik Indranee telah menyampaikan hujahnya di rapat tengah hari Fullerton Parti Tindakan Rakyat (PAP) di UOB Plaza pada 28 April.
Antara calon PAP lain yang hadir di rapat itu termasuk, PM Wong (GRC Marsiling-Yew Tee); Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (GRC Ang Mo Kio); Encik David Hoe (GRC Jurong East-Bukit Batok); Dr Syed Harun Alhabsyi (GRC Nee Soon); Cik Bernadette Giam (GRC Sengkang); Encik Jagathishwaran Rajo (GRC Aljunied); Cik Goh Hanyan (GRC Nee Soon); dan Encik Chan Chun Sing (GRC Tanjong Pagar).
Menggunakan analogi sukan berpasukan dan projek berpasukan di tempat kerja, Cik Indranee merujuk kepada bagaimana pemerintah yang baik boleh dilemahkan jika terus kehilangan menteri dan Anggota Parlimen (AP) sedia ada.
“Kita semua tahu, jika kita terus mengeluarkan anggota pasukan, kita tidak akan dapat memberi hasil yang sama, walau segigih mana kita berusaha,” jelasnya.
Cik Indranee turut membidas dakwaan pembangkang, yang telah menyeru rakyat Singapura supaya mengundi lebih ramai anggota pembangkang untuk masuk Parlimen.
Namun, beliau berkata ia bukan sekadar soal bilangan anggota pembangkang, tetapi juga pengalaman dan set kemahiran mereka.
“Sudah tentu anda boleh ada muka baru, tetapi ia mengambil masa untuk (mereka) mencapai tahap prestasi yang diperlukan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Cik Indranee berkata pihak pembangkang sendiri mengambil langkah berhati-hati dalam menempatkan calon mereka di kawasan undi tertentu, menunjukkan mereka memahami pentingnya mempunyai pasukan yang tepat di kawasan undi yang betul.
“PM Wong telah membentuk pasukan yang mempunyai gabungan tepat, bukan untuk dirinya sendiri, malah yang boleh bekerja bersama anda dan untuk Singapura,” ujarnya kepada penyokong.
Di penghujung ucapannya, Cik Indranee menyentuh tentang isu kos sara hidup dan menjelaskan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah perlu untuk membiayai kos penjagaan kesihatan bagi penduduk Singapura yang semakin menua.
Menurutnya, sebahagian besar daripada GST yang dikumpul adalah daripada golongan berpendapatan tinggi, pelancong serta warga asing, dan ia kemudian digunakan untuk rakyat Singapura.
Beliau berkata pemerintah telah melindungi rakyat Singapura daripada kesan kenaikan GST melalui Pakej Jaminan, menangguhkan kesan GST selama 10 tahun bagi golongan berpendapatan rendah dan lima tahun bagi golongan berpendapatan sederhana.
“Tekanan kos yang kita rasai kini sebahagian besarnya didorong oleh faktor luaran.
“Kami akan terus beri sokongan untuk lindungi rakyat Singapura daripada kesan sepenuhnya,” kata Cik Indranee, sambil menambah menggunakan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan baucar GST, antara lain, sebagai contoh bantuan yang menampung perbelanjaan isi rumah.
Namun, beliau mengakui bahawa pemerintah sedar yang penduduk ingin menampung perbelanjaan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan.
Justeru, beliau berkata tumpuan besar pemerintah adalah pada usaha mengukuhkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu rakyat, termasuk pelajar dan pekerja lebih tua, memperoleh pendapatan lebih tinggi dan peluang pekerjaan.
Mengenai perumahan pula, Cik Indranee berkata lebih 50,000 flat baru akan dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tetap mampu dimiliki menerusi rangka kerja klasifikasi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baru.
“
“Kita semua tahu, jika kita terus mengeluarkan anggota pasukan, kita tidak akan dapat memberi hasil yang sama, walau segigih mana kita berusaha... Sudah tentu anda boleh ada muka baru, tetapi ia mengambil masa untuk (mereka) mencapai tahap prestasi yang diperlukan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg