Parti Titik Merah Bersatu (RDU) memperkenalkan tiga calon yang mungkin bertanding bagi GRC Jurong East-Bukit Batok yang baru dalam satu sidang media pada 5 April.
Menurut laporan The Straits Times, mereka adalah usahawan dan pengarang, Cik Liyana Dhamirah; artis kontemporari, Encik Ben Puah dan jurutera perisian utama, Encik Harish Mohanadas.
GRC Jurong East-Bukit Batok merupakan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) lima anggota.
Berkongsi kepada pihak media di 155 Bukit Batok Street 11 sebelum sesi mengenal penduduk (walkabout), Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, berkata ketiga-tiga individu ini akan menggiatkan usaha mengenali kawasan undi tersebut menjelang Pilihan Raya Umum (GE) akan datang.
Ini penting bagi memastikan parti itu mempunyai “calon yang sesuai dan mempunyai kaliber yang tepat untuk bertanding di kawasan ini”, katanya.
Beliau menambah pasukan RDU bagi GRC Jurong East-Bukit Batok mempunyai tiga misi.
Mereka perlu memastikan “semua individu mempunyai wang dalam poket mereka”, wakil rakyat yang prihatin, dan rakyat Singapura bermaruah dan “kekal sebagai warga kelas pertama di negara sendiri”, ujarnya.
Cik Liyana, 38 tahun, adalah bekas calon RDU untuk GRC Jurong dalam GE2020.
Encik Puah, 48 tahun, menyertai RDU pada 2024 manakala Encik Harish, 39 tahun, merupakan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) RDU.
Kededua mereka akan bertanding dalam pilihan raya buat kali pertama jika dicalonkan dalam GE2025.
RDU telah mengenal pasti GRC Jurong East-Bukit Batok sebagai salah satu daripada enam kawasan undi dirancang untuk ditandingi dalam GE2025.
Pada 2020, Encik Philemon mengetuai pasukan RDU di GRC Jurong menentang pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Menteri Kanan pada waktu itu, Encik Tharman Shanmugaratnam. PAP menang dengan 74.62 peratus undi.
GRC Jurong East-Bukit Batok terbentuk susulan persempadanan semula berikutan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac.
Dengan bilangan 142,510 pengundi, GRC itu merangkumi daerah Bukit Batok East dan Clementi, serta menyertakan SMC Bukit Batok secara keseluruhan.
Sebahagian SMC Hong Kah North, di bawah kendalian Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, turut disertakan dalam GRC tersebut.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, Anggota Parlimen SMC Yuhua sejak 2006, dijangka mengetuai pasukan PAP bagi GRC tersebut setelah sebahagian kawasan undinya itu disertakan GRC Jurong East-Bukit Batok.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg