Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Nee Soon yang diketuai oleh Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, bersama seorang lagi calon kawasan undi itu, Dr Syed Harun Alhabsyi, mengadakan lawatan pada malam 26 April 2025 di Blok 417 dan 418 Yishun Avenue 11.
Lawatan tersebut bertujuan mendekati penduduk, mendengar secara langsung keperluan serta cadangan mereka, dan mengukuhkan hubungan kekitaan dalam masyarakat.
Sepanjang lawatan tersebut, Encik Shanmugam dan Dr Syed Harun, bersama beberapa sukarelawan, beramah mesra dengan penduduk di dua kedai kopi di kawasan itu.
Mereka mendengar maklum balas tentang isu-isu setempat seperti penyelenggaraan kemudahan awam, keselamatan kejiranan, serta cadangan untuk penambahbaikan persekitaran.
Ramai penduduk menyambut baik kehadiran mereka dan menghargai usaha mendekati masyarakat secara bersemuka.
Ada juga yang berkongsi pengalaman positif serta mengutarakan pandangan untuk memperkasa kawasan kejiranan.
Ramai penduduk juga mengambil peluang untuk bergambar dan mengucapkan terima kasih serta melahirkan penghargaan kepada usaha PAP sejauh ini.
Walaupun terdapat sedikit gangguan apabila beberapa individu melaungkan sokongan kepada pihak pembangkang, lawatan tersebut tetap berjalan dengan lancar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg