Pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights mengadakan jamuan tengah hari pada 4 Ogos untuk mengucapkan terima kasih kepada mantan Anggota Parlimen di kawasan undi itu, Encik Fahmi Aliman, atas jasa baktinya kepada perkhidmatan awam.
Dalam hantaran Facebook Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Seah Kian Peng, merakamkan penghargaan kepada Encik Fahmi atas sumbangannya kepada GRC tersebut dari 2020 hingga 2025.
Encik Fahmi, 53 tahun, yang juga mantan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, telah berundur dari Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang lalu dan tempatnya digantikan oleh muka baru PAP, pengarah pembangunan perniagaan, Cik Diana Pang, 51 tahun.
Dalam hantaran pada 4 Ogos, Encik Seah berkongsi gambar pasukan itu sewaktu beliau bertemu dengan Encik Fahmi bersama anggota lain GRC itu termasuk Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Cik Tin Pei Ling dan Cik Diana Pang.
Seorang lagi anggota baru pasukan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu, Encik Goh Pei Ming, tidak dapat hadir pada acara makan tengah hari itu kerana komitmen kerja di saat akhir, kata Encik Seah.
Dalam hantaran di media sosial, Encik Seah, berkata:
“Terima kasih Fahmi atas segala sumbangan anda kepada GRC kami dan kepada khidmat awam.
“Sangat gembira dapat bertemu dengan anda hari ini sewaktu makan tengah hari bersama rakan-rakan dari GRC Marine Parade-Braddell Heights GRC.
“Jaga diri dan hubungi selalu @fahmialimansg – seorang gentleman, seorang pegawai, seorang rakan sekerja dan seorang sahabat.”
Sebelum ini, Encik Fahmi pernah berkhidmat selama 26 tahun dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan berpangkat Kolonel, dengan penugasan ke Aceh pada 2005 dan Afghanistan pada 2012.
Beliau dianugerahkan Pingat Penghargaan (Tentera) pada 2014 dan Pingat Perkhidmatan Lama (Tentera) pada 2017.
Selain itu, bapa kepada empat anak itu juga pernah menyandang tugas sebagai Komander Perbarisan Hari Kebangsaan pada 2011 dan mengetuai Misi Kemanusiaan SAF ke Laos pada 2018.
Selepas meninggalkan SAF pada 2019, beliau berkhidmat seketika sebagai Timbalan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebelum menyertai Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebagai Pengarah Unit Pentadbiran dan Penyelidikan pada 2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg