Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan PAP di GRC Jalan Besar enggan ambil sikap sambil lewa

Josephine: Rekod pencapaian calon wajar jadi tumpuan utama pengundi
Apr 20, 2025 | 11:36 AM
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (dua dari kiri) menerangkan kepentingan bagi pengundi melihat rekod pencapaian seseorang calon sebelum mengundi ketika ditemui media di Jambatan Kolam Ayer. Bersamanya, adalah calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kiri), Encik Shawn Loh (dua dari kanan), dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua Lay Peng.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (dua dari kiri) menerangkan kepentingan bagi pengundi melihat rekod pencapaian seseorang calon sebelum mengundi ketika ditemui media di Jambatan Kolam Ayer. Bersamanya, adalah calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kiri), Encik Shawn Loh (dua dari kanan), dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua Lay Peng. - Foto BH oleh NYIMAS ANDREANA

Rekod pencapaian calon bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dan kebolehan mereka memberi sumbangan dengan jelas adalah kepentingan utama yang perlu dinilai apabila penduduk Singapura mengundi pada 3 Mei ini.

Demikian jelas Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, ketika ditemui media di Jambatan Kolam Ayer, berhampiran Sekolah Rendah Bendemeer, pada 20 April.

Walaupun pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Jalan Besar menang dua pertiga undi bagi dua Pilihan Raya Umum sebelum ini, pasukan yang bakal bertanding kini tidak akan mengambil sikap sambil lewa, tambah Cik Teo.

“Kami mengambil setiap GE mengikut ketetapan dan situasinya sendiri. Rekod silam itu, saya fikir, hanya penting bagi mengingatkan kami apa yang telah dapat kami lakukan bagi penduduk kami,” katanya.

Cik Teo, yang memimpin pasukan PAP di GRC Jalan Besar sekali lagi bagi GE2025, menambah pengundi terbuka dalam menilai calon berdasarkan kekuatan mereka serta rekod pencapaian dan perancangan bagi kawasan tersebut.

“Kami selalu mengambil rekod silam seperti ia satu lipatan sejarah dan memandang ke depan, kami tidak mahu mula berfikir bahawa kejiranan ini sudah terjamin di bawah jagaan kami.

“Anda harus bermula dengan asas anda berjuang bagi setiap undi yang diberi daripada yang pertama diterima. Justeru, segalanya bermula daripada sifar, dan anda membangunnya dari situ,” tambah Cik Teo, 56 tahun.

Menyentuh tentang kemungkinan adanya pertarungan tiga penjuru di GRC Jalan Besar, Cik Teo menegaskan fokus pasukannya adalah dalam memaparkan kemahiran kerjasama mereka, demi meningkatkan kemudahan bagi penduduk Jalan Besar.

“Apabila seseorang pergi mengundi, beliau bukan sahaja mengundi untuk seorang calon. Namun, beliau sekali gus mengundi untuk parti tersebut, dan apa yang parti itu pentingkan,” kata Cik Teo lagi.

Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) – termasuk Suara Rakyat (PV) – sejauh ini, telah melahirkan minat bertanding di GRC Jalan Besar, lantas kemungkinan mewujudkan persaingan tiga penjuru bersama PAP.

Cik Teo menerangkan tidak kira parti yang akan bertanding di GRC Jalan Besar, pengundi akan tetap membandingkan manifesto, pelan induk dan cara parti tersebut memberi bantuan sosial kepada penduduk mereka.

Menurutnya lagi, pasukan PAP GRC Jalan Besar berharap dapat membantu penduduk mengatasi isu mengenai latihan kemahiran teknologi, meluaskan pilihan kerjaya dan menolong mereka mencapai aspirasi mereka.

Pasukan PAP yang dipimpin Cik Teo meraih 65.37 peratus undi ketika menentang pasukan PV dalam GE2020, sementara pasukan di bawah pimpinan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Yaacob Ibrahim, menang 67.7 peratus undi sewaktu menentang Parti Pekerja (WP) pada GE2015.

Dalam pada itu, seorang lagi calon PAP yang bakal bertanding di GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, 46 tahun, pula berkata penduduk di kawasan itu ingin mengembalikan hubungan kejiranan yang padu selepas pandemik, dengan penekanan pada kemampanan dan kesihatan mental.

Pengerusi Majlis Bandaran Jalan Besar itu menambah terdapat penambahbaikan pada ketersambungan dalam kejiranan itu sejak lima tahun lalu, sepertimana yang dilihat pada Jambatan Kolam Ayer yang sudah diperbaharui.

Lebih 60 panel solar juga telah dibangunkan di flat sekitar kejiranan ini, dengan lebih 600 blok juga telah dicat semula dan diberi kesegaran.

Turut serta dalam acara itu adalah dua lagi calon PAP bagi GRC tersebut, Encik Shawn Loh, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg