Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marsiling-Yew Tee mengalu-alukan kehadiran Parti Demokratik Singapura (SDP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 di kawasan itu dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang “sihat untuk demokrasi kita”.
Hal itu dikongsi Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Alex Yam, ketika bertemu wartawan di pelancaran Pelan Induk Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee (2025-2030), di Yew Tee Square pada 5 April.
Encik Yam, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee, berkata mereka menantikan untuk mendengar rancangan SDP untuk penduduk di samping mengalu-alukan mereka serta persaingan yang sihat.
“SDP telah berada di Marsiling-Yew Tee dalam dua pilihan raya umum yang lalu. Jadi, mereka terus kekal di sini, saya rasa ia bukan satu kejutan besar,” kata Encik Yam.
“Kami menantikan untuk mendengar pengumuman mereka tentang siapa ahli pasukan mereka, kerana mereka telah melalui beberapa perubahan sepanjang tempoh ini,” kata Encik Yam.
SDP telah mengumumkan pada 30 Mac akan bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee pada GE2025.
Ini bermakna kemungkinan mereka akan menghadapi pasukan GRC Marsiling-Yew Tee yang diterajui Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Pada GE 2020, pasukan Encik Wong meraih kemenangan ke atas SDP dengan 63.18 peratus undian.
Apabila ditanya wartawan mengenai waktu pengumuman Pelan Induk Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee di tengah musim GE, Encik Yam menjawab:
“Sebenarnya, ia agak kebetulan, kerana kami merancang pelan lima tahun kami tanpa mengira kitaran pilihan raya.
“Maka, kebetulan kali ini, pelan lima tahun kami sudah memasuki tahun kelima dan hampir berakhir.”
Beliau menambah pasukan itu telah mengadakan perbincangan pelan bandar mereka pada 2024, maka ini hanyalah sebahagian daripada prosesnya.
Mengulas mengenai pasukan PAP yang akan bertanding, Encik Yam berkata walaupun beliau tidak menjangkakan sebarang kejutan dari segi barisan calon PAP di GRC Marsiling-Yew Tee, keputusan muktamad terletak pada Perdana Menteri.
“Keputusan mengenai di mana kami akan bertanding dan siapa yang akan bertanding di sini bergantung pada Perdana Menteri.
“Namun, sudah tentu, kami telah menyampaikan pilihan kami kepada Perdana Menteri sendiri, dan kami berharap dapat terus berkhidmat kepada penduduk di sini,” ujarnya.
Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-10 sejak penubuhan GRC Marsiling-Yew Tee pada 2015.
Encik Wong; Encik Yam dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; kekal sebagai pasukan asal, manakala Cik Hany Soh menyertai kawasan itu pada 2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg