Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP mula kempen dengan slogan ‘Bekerja untuk S’pura’

Ini diumumkan tidak lama selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan pada 15 April
Apr 15, 2025 | 7:36 PM
Setiausaha agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (tengah), memuat naik foto di Facebook mengucapkan terima kasih kepada penduduk GRC Aljunied, Sengkang, dan SMC Hougang atas sokongan mereka. Beliau didampingi Encik Faisal Manap, dan Cik Sylvia Lim, bersama Anggota Parlimen WP lain, (belakang dari kiri) Encik Dennis Tan, Cik He Ting Ru, Encik Gerald Giam, Profesor Madya Jamus Lim, dan Encik Louis Chua.
Setiausaha agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (tengah), memuat naik foto di Facebook mengucapkan terima kasih kepada penduduk GRC Aljunied, Sengkang, dan SMC Hougang atas sokongan mereka. Beliau didampingi Encik Faisal Manap, dan Cik Sylvia Lim, bersama Anggota Parlimen WP lain, (belakang dari kiri) Encik Dennis Tan, Cik He Ting Ru, Encik Gerald Giam, Profesor Madya Jamus Lim, dan Encik Louis Chua. - Foto FACEBOOK PRITAM SINGH

Parti Pekerja (WP) telah mengeluarkan sesuatu yang kelihatan seperti slogan kempennya bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), iaitu “Bekerja untuk Singapura”.

Slogan itu diumumkan tidak lama selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan pada 15 April. Parti itu berkata walaupun slogannya berubah dari semasa ke semasa, misinya tetap sama.

“Parti Pekerja berbangga kerana dapat menyumbang kepada perpaduan dalam kepelbagaian. Suara kami bertujuan mewakili masyarakat Singapura yang berbilang (kaum), sambil berusaha ke arah sebuah Parlimen Dunia Pertama,” menurut satu hantaran di akaun media sosial parti itu.

Parti itu menyeru rakyat Singapura supaya “melangkah ke hadapan” sementara ia terus berkhidmat demi negara, lapor The Straits Times (ST).

“Semua ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan anda yang berterusan. Dengan undi anda pada 2020, kami mencipta sejarah dengan mempunyai bilangan Anggota Parlimen (AP) pembangkang tertinggi di Parlimen,” tambah kenyataan parti itu.

“Dari 2020 hingga 2025, idea kami telah didengari dan dilaksanakan oleh Pemerintah. Bersama-sama, kita telah membuktikan bahawa pembangkang yang membina membawa hasil lebih baik.

“Namun, usaha ini belum selesai. Kita tidak boleh berhenti di sini. Kami akan terus bekerja untuk Singapura, dan kami berharap anda juga akan turut melangkah ke hadapan.”

WP turut mengeluarkan video pendek dengan slogan dan ‘hashtag’: “Masanya telah tiba. #StepUp (Melangkah) bersama kami. Bersama, kita #WorkingForSingapore (Bekerja untuk Singapura).”

Video tersebut menampilkan kesemua lapan AP WP: AP GRC Aljunied – Encik Pritam Singh, Cik Sylvia Lim, Encik Faisal Manap dan Encik Gerald Giam; AP SMC Hougang – Encik Dennis Tan; serta AP GRC Sengkang – Encik Louis Chua, Cik He Ting Ru dan Profesor Madya Jamus Lim.

Dalam video itu, Encik Giam berkata adalah penting untuk mewujudkan keseimbangan dalam sistem politik. 

“Kita tidak boleh membiarkan satu parti menguasai segalanya di Singapura. Perlu ada lebih banyak kepelbagaian,” kata Encik Giam.

Profesor Madya Lim pula berkata satu-satunya cara merealisasikan idea baru adalah menerusi persaingan. 

“Itu sesuatu yang diperlukan dan sihat bagi mana-mana (negara) demokrasi yang matang,” tambahnya.

Cik Lim menambah: “Jika PAP gagal, apa Pelan B kita?”

Sebelum video itu berakhir dengan slogan “Bekerja untuk Singapura”, Encik Pritam menyifatkan rakyat Singapura sebagai “ejen sebenar perubahan”.

“Parti Pekerja hanyalah sebuah platform untuk membawa suara mereka ke Parlimen, dan orang yang benar-benar mempunyai kuasa ialah para pengundi. Mereka yang menentukan masa depan,” katanya.

WP adalah parti pembangkang yang paling berjaya di Singapura setakat ini. Calon-calonnya dalam GE2020 menduduki 10 kerusi di Parlimen selepas mengalahkan parti pemerintah di GRC Aljunied dan Sengkang, serta SMC Hougang.

Setiausaha agung WP, Encik Pritam, telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas GE2020, menjadikannya pemimpin pembangkang pertama yang memegang jawatan tersebut secara rasmi.

Jawatan itu memberinya hak memberi respons pertama antara para AP, lebih banyak masa untuk berucap di Parlimen, sokongan kakitangan dan sumber untuk menjalankan tugas, elaun yang berganda berbanding AP biasa, serta ruang pejabat di bangunan Parlimen.

Sehingga pengeluaran writ, WP telah menjaga dengan ketat rancangan pilihan rayanya, termasuk kawasan dan calon-calon yang akan dipertandingkan. 

Parti itu hanya secara jelas menyatakan matlamat jangka sederhana mereka adalah untuk memenangi satu pertiga daripada kerusi di Parlimen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg