Pihak asing yang cuba mempengaruhi hal-hal domestik perlu ditolak sekeras-kerasnya di Singapura, kata pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Paul Tambyah.
Berkongsi kepada pihak media di Pusat Makanan dan Pasar Teban Gardens pada 26 April, Dr Paul berkata parti itu “menolak sekerasnya campur tangan pengaruh asing dalam apa jua bentuk”.
Ia bahkan menjadi satu keprihatinan kerana wujudnya profil akaun media sosial yang menimbul banyak persoalan.
Memberi contoh, beliau berkata: ”Apa yang menjadi keprihatinan sebenar adalah setiap kali Dr Chee Soon Juan (Setiausaha Agung SDP), atau Encik Harpreet Singh Nehal (calon Parti Pekerja) atau calon pembangkang berprofil tinggi memuat naik catatan, kami dapati catatan serupa di akaun Facebook baru yang tiada rakan, kenalan atau tiada catatan sebelum ini.
“Agak jelas akaun ini adalah ‘bot’ (robot) jadi saya menggalakkan MDDI (atau agensi berkepentingan lain) untuk ambil tindakan terhadap bot sebegini.”
Dr Paul berkata demikian menyusuli Arahan Pembetulan yang dikenakan kepada Meta, syarikat induk yang memiliki Facebook, untuk melumpuhkan akses pengguna Singapura kepada beberapa Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) yang diterbitkan di Facebook oleh warga asing semasa tempoh pilihan raya.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), dalam satu kenyataan bersama pada 25 April, berkata mereka telah mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) setelah mengenal pasti beberapa warga asing yang cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dr Paul, calon SDP bagi SMC Bukit Panjang, berada di pusat makanan dan pasar itu bagi memberi sokongan dan meraikan ulang tahun ke-85 pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, yang merupakan calon parti bagi GRC West Coast-Jurong West.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg