Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong perkenal lapan muka baru bakal calon PAP

Antara lebih 30 bakal calon baru PAP bagi GE2025
Apr 12, 2025 | 10:22 PM
Lapan muka baru bakal calon PAP daripada 30 yang dijangka diketengahkan bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025 ialah (dari kiri, atas) Cik Goh Hanyan, Encik Shawn Loh, Cik Cassandra Lee, Dr Hamid Razak, (dari kiri, bawah) Cik Diana Pang, Encik Goh Pei Ming, Cik Jasmin Lau dan Encik Ng Shi Xuan.
Lapan muka baru bakal calon PAP daripada 30 yang dijangka diketengahkan bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025 ialah (dari kiri, atas) Cik Goh Hanyan, Encik Shawn Loh, Cik Cassandra Lee, Dr Hamid Razak, (dari kiri, bawah) Cik Diana Pang, Encik Goh Pei Ming, Cik Jasmin Lau dan Encik Ng Shi Xuan. - Foto FACEBOOK / LAWRENCE WONG

Lapan calon baru yang dijangka bertanding atas tiket Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 telah diperkenal oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Mereka adalah Cik Goh Hanyan, Encik Shawn Loh, Cik Cassandra Lee, Dr Hamid Razak, Cik Diana Pang, Encik Goh Pei Ming, Cik Jasmin Lau dan Encik Ng Shi Xuan.

Lapan individu itu diperkenal melalui sebuah video yang dimuat naik di laman media sosial Encik Wong pada 12 April.

Mereka terdiri daripada individu yang memiliki latar belakang sektor awam dan swasta.

“Marilah kita bina Singapura yang lebih baik, sebuah negara yang boleh kita semua banggakan,” kata Encik Wong dalam video tersebut.

Bagaimanapun, video itu tidak menyatakan kawasan yang akan ditandingi bakal calon berkenaan dalam pilihan raya akan datang.

Pada 12 April, Encik Wong turut memaklumkan bahawa PAP akan menampilkan lebih 30 bakal calon baru – jumlah terbesar sejak beberapa pilihan raya lalu – dalam barisan bakal calon PAP bagi GE2025.

Lapan wajah baru itu telah kelihatan aktif di sesi lawatan dan acara PAP di serata Singapura dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Antaranya ialah bekas penjawat awam kanan seperti Cik Goh, yang merupakan mantan pengarah di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI); Encik Loh, mantan pengarah di Kementerian Kewangan (MOF); dan Cik Lau, mantan timbalan setiausaha bagi dasar di Kementerian Kesihatan (MOH).

Cik Goh dilihat aktif di GRC Nee Soon, di mana Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, kini berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP).

Namun pada 11 April, Dr Faishal mengumumkan bahawa beliau akan menyertai pasukan PAP di GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Minggu lalu, Encik Loh dilihat bersama AP Jalan Besar dalam satu acara masyarakat bagi mengagihkan peralatan sekolah dan barang dapur percuma kepada keluarga berpendapatan rendah.

Cik Lau bagaimanapun belum kelihatan dalam sebarang acara PAP.

Sementara itu, pakar bedah ortopedik, Dr Hamid, dilihat aktif menyertai acara masyarakat di Jurong Spring sejak 2024. Beliau dijangka bertanding di GRC West Coast-Jurong West.

Mantan Ketua Turus, Staf bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh, pula kelihatan aktif di GRC Punggol yang baru dan GRC East Coast.

Pengarah pembangunan perniagaan, Cik Pang, pula kelihatan di GRC Marine Parade-Braddell Heights, manakala Encik Ng, pengarah syarikat bateri Powermark Battery and Hardware, telah diperkenal secara rasmi kepada penduduk di GRC Sembawang.

Sementara itu, Cik Lee, seorang peguam dan sukarelawan akar umbi yang aktif sejak 2015 bersama PAP di Jurong, dilihat hadir di majlis pelancaran pelan induk lima tahun Majlis Bandaran Jurong-Clementi baru-baru ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg