Parti Pekerja (WP) pada 18 April memperkenalkan empat lagi muka baru yang dirancang untuk diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), tanpa mendedahkan kawasan yang akan mereka bertanding.
Empat calon yang bakal membuat penampilan sulung dalam pilihan raya pada 3 Mei ialah:
– Dr Ong Lue Ping, 48 tahun, pakar psikologi klinikal kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH);
– Encik Andre Low Wu Yang, 34 tahun, pengurus projek di sebuah syarikat teknologi kewangan global;
– Cik Alexis Dang Pei Yuan, 39 tahun, pengarah kanan di firma teknologi pengiklanan global Teads; dan
– Encik Jimmy Tan, 53 tahun, pengasas bersama syarikat pembekal peralatan industri.
WP dijangkakan akan mempertandingkan kira-kira 31 daripada 97 kerusi Parlimen dalam pilihan raya kali ini, berdasarkan sumber parti dan kawasan di mana calon-calon berpotensi telah aktif.
Ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh, berkata calon-calon ini akan bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) atau Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).
“Kami akan mendedahkan tidak lama lagi di mana mereka berempat akan bertanding,” katanya di sidang media yang diadakan di ibu pejabat WP di Geylang Road.
Parti pembangkang itu dijangka menampilkan 17 calon baru buat kali pertama pada 2025 – satu rekod bagi WP.
Lapan daripadanya telah pun diumumkan pada 17 dan 18 April.
Empat calon yang diperkenalkan pada 18 April mempunyai latar belakang yang berbeza.
Dr Ong Lue Ping, pakar psikologi klinikal kanan dengan pengalaman 22 tahun di IMH, pernah menjadi pengarah kesihatan bersekutu di institusi itu.
Beliau meninggalkan jawatan kepimpinannya untuk menyertai politik demi menangani cabaran sistemik yang menjejaskan kesihatan mental rakyat.
“Setiap hari, rakan-rakan sekerja dan saya berjuang habis-habisan untuk membantu pesakit kami... tetapi kami sering berasa tidak berdaya,” katanya.
“Sebab itu saya rasa sudah tiba masanya untuk saya turut menangani cabaran struktur ini di Parlimen.”
Seorang lagi calon, Encik Andre Low, mantan peguam berusia 34 tahun yang kini beralih ke bidang teknologi, memegang peranan sebagai perunding strategi di Boston Consulting Group.
Sejak menyertai WP pada 2020, beliau telah memainkan peranan penting sebagai pembantu setiausaha kepada Anggota Parlimen Sengkang, Encik Louis Chua.
Bakal bergelar bapa, beliau terdorong untuk membina masa depan lebih baik.
“Saya rasa kita bertambah kuat apabila perspektif berbeza diketengahkan.
“Saya ingin memberi suara kepada mereka yang berjuang kerana saya tidak rasa mereka boleh bersuara untuk diri mereka sendiri,” katanya.
Calon ketiga, Cik Alexis Dang pula membawa pengalaman dari sektor perbankan dan teknologi, termasuk peranannya di syarikat pengiklanan global, Teads.
Berasal dari Singapura dan dibesarkan di Taiwan, beliau amat menekankan kepentingan pendidikan dwibahasa.
Beliau menyertai WP kerana percaya masyarakat kini lebih matang dari segi sivik.
“Sudah tiba masanya suara yang lebih pelbagai dan lebih berakar umbi didengari di Parlimen.
“Melalui kerja sukarela bersama parti, saya terinspirasi oleh dedikasi, komitmen dan keberaniannya (parti) untuk berkhidmat,” kata Cik Dang.
Encik Jimmy Tan, 53 tahun, memulakan perjalanan politiknya sebagai sukarelawan WP pada 2017 dan kini merupakan pembantu setiausaha kepada Setiausaha Agung WP, Encik Pritam.
Beliau turut memegang peranan penting dalam operasi akar umbi dan dilantik sebagai pembantu perundangan awal 2025.
Sebagai pengasas bersama sebuah perniagaan keluarga, beliau berkata kesedaran politiknya timbul pada 2016 selepas pindaan perlembagaan mengenai kelayakan calon Presiden.
“Tiada parti politik yang patut memonopoli kebijaksanaan,” katanya.
“Kita seharusnya memberi peluang kepada semua parti menyuarakan pendapat mereka untuk mencapai matlamat sewajarnya.”
Berdasarkan sumber parti dan kawasan calon-calon berpotensi telah bergerak aktif, WP dijangka akan bertanding di kira-kira 31 daripada 97 kerusi Parlimen dalam pilihan raya kali ini, dan akan memperkenalkan lebih ramai calon dalam beberapa hari akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg