Pemerintah akan memastikan keselamatan dan kemakmuran Singapura sedang negara ini mengharungi landskap sejagat yang semakin tidak menentu, dengan keutamaan dalam memperkukuh hubungan antarabangsa, daya tahan ekonomi, dan perpaduan sosial, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 23 Mei.
Singapura telah memilih sebuah pemerintah yang kukuh dan stabil, yang boleh melakarkan hala tuju yang mantap untuk fasa pembangunan negara yang seterusnya dan “kami akan tunaikan janji,” tambah beliau.
Encik Wong berkata demikian semasa berucap di upacara mengangkat sumpah bagi Kabinet baru di Istana pada 23 Mei, yang turut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Ketua Hakim Sundaresh Menon.
“Singapura tidak akan berdiam diri. Kita tidak boleh bersikap pasif. Kita mesti berfikir dengan jelas, proaktif dan menyesuaikan diri dengan dinamik yang berubah-ubah.
“Keutamaan pertama adalah untuk memastikan Singapura mendapat tempat yang terjamin dalam dunia yang berubah ini,” kata beliau.
Encik Wong berkata Singapura akan memperdalami hubungan dengan negara kuasa utama, terutama Amerika Syarikat dan China, mengekalkan persahabatan dengan kedua-duanya tanpa terperangkap dalam persaingan mereka.
“Di mana kepentingan kita sejajar, kita akan bekerjasama dengan mereka. Di mana tidak, kita akan berdiri teguh dan melindungi keselamatan dan kedaulatan Singapura,” kata beliau.
Singapura juga akan memperkukuh hubungan dengan negara lain, dan berusaha membina ikatan dengan sahabat baru, seperti di Afrika dan Amerika Selatan, serta memastikan Singapura kekal sebagai suara yang boleh dipercayai dan dihormati di pentas dunia.
“Dalam dunia pakatan yang berubah-ubah, kita akan menjadi rakan kongsi yang mantap dan membina – yang sanggup dan mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan, memajukan dialog dan persaudaraan, serta menyokong perintah antarabangsa berasaskan peraturan.
“Matlamat kami bukan hanya untuk mengemudi dunia yang tidak menentu ini, tetapi untuk membantu membentuknya menjadi lebih baik – dengan bekerjasama dengan rakan kongsi yang sefahaman, dan menegakkan prinsip dan nilai yang dikongsi, supaya negara-negara kecil juga mendapat tempat,” kata beliau.
Pemerintah juga akan memacu ekonomi negara bagi cabaran akan datang, dengan rancangan untuk membangunkan pelan tindakan ekonomi baru untuk fasa seterusnya bagi mengekalkan kelebihan daya saing dan mewujudkan pekerjaan baik untuk rakyat.
Encik Wong menambah bahawa pemerintah juga akan terus bekerja rapat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk menyokong pekerja dan pencari kerja supaya setiap rakyat boleh dapat pekerjaan dan maju dalam kerjaya mereka.
Usaha juga akan diteruskan untuk memperbaharui dan memperkukuh kompak sosial di bawah gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, atau Forward Singapore.
Ini termasuk mempertingkat sistem sokongan sosial untuk memberi jaminan lebih besar kepada rakyat merentasi semua peringkat kehidupan, daripada awal kanak-kanak hingga persaraan.
Ini bermakna memastikan khidmat penting seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan kekal aksesibel dan boleh dimampui, selain memperkukuh sokongan untuk warga emas, kata Encik Wong.
Lebih banyak laluan pelbagai dan fleksibel juga akan diwujudkan, termasuk bagi pelajar yang sedang meneroka pilihan kerjaya, pekerja pertengahan kerjaya yang ingin mempertingkat kemahiran, atau warga emas yang ingin terus menyumbang.
Encik Wong menambah bahawa pemerintah juga akan memperdalam persefahaman dan rasa saling menghormati antara rakyat dari latar belakang etnik, agama dan sosial yang berbeza.
“Apabila isu kaum dan agama timbul dalam pilihan raya ini, kita tidak benarkan ia memecahbelahkan kita. Ini menunjukkan sejauh mana kita telah melangkah sebagai sebuah masyarakat.
“Tetapi ini juga peringatan bahawa kita tidak boleh mengambil ringan keharmonian kaum dan agama kita. Kami akan terus menjaga perkara ini dengan teliti, dan menggandakan usaha kami untuk membina sebuah masyarakat di mana semua orang rasa dihormati dan dihargai, dan tahu mereka benar-benar sebahagian daripada negara,” kata beliau.
Pemerintah juga akan terus meneliti keprihatinan segera untuk mempersiapkan Singapura untuk masa depan, termasuk dalam mempercepatkan peralihan ke tenaga lebih bersih dan mengubah prasarana serta mewujudkan rumah lebih bijak, terhubung dan hijau untuk semua.
Untuk menangani cabaran yang datang, Encik Wong berkata beliau telah membentuk pasukan terkuat untuk Singapura, yang merangkumi kedua-dua menteri berpengalaman dan juga menteri baru yang akan membawa perspektif dan idea baru.
Mereka termasuk empat anggota Kabinet: Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan tiga Menteri Penyelaras — Encik K Shanmugam, Encik Chan Chun Sing dan Encik Ong Ye Kung — yang akan menyelia empat bidang penting, termasuk ekonomi, keselamatan negara, perkhidmatan awam dan dasar sosial.
Encik Wong berkata beliau dan pasukannya rasa rendah hati bahawa rakyat Singapura telah memberikan mereka mandat yang jelas dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025, dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih undi popular 65.57 peratus.
Beliau menambah bahawa rakyat Singapura telah memilih pemerintah yang kukuh dan stabil, sementara memilih semula Anggota Parlimen (AP) pembangkang di kawasan yang dipegang mereka.
“Keputusan ini mencerminkan keinginan kolektif rakyat Singapura. Dalam masa yang tidak menentu ini, anda memahami perkara yang dipertaruhkan - kelemahan kita dan masa depan kita,” kata beliau.
Encik Wong berkata pemerintah akan terus mendekati rakyat Singapura daripada semua latar belakang kehidupan untuk mendengar harapan dan keprihatinan mereka, serta mencerminkan suara mereka dalam dasar-dasar.
“Selain mendengar, kami akan melibatkan anda secara aktif dalam mencipta dan melaksanakan huraian yang penting kepada anda dan keluarga anda.
“Beginilah cara saya dan pasukan saya akan mentadbir – dengan kerjasama rakyat Singapura. Semua orang akan mempunyai suara dalam membentuk cara kita ke hadapan dan membina masa depan kita bersama,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg