Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah peruntuk sekitar $380j kepada Mediacorp sokong usaha jangkau penonton domestik

Oct 15, 2025 | 3:49 PM
Penyiar perkhidmatan awam Singapura, Mediacorp, diperuntukkan $380 juta oleh pemerintah setiap tahun sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
Penyiar perkhidmatan awam Singapura, Mediacorp, diperuntukkan $380 juta oleh pemerintah setiap tahun sepanjang lima tahun kebelakangan ini. - Foto fail

Pemerintah telah memperuntukkan sekitar $380 juta setiap tahun bagi menyokong penyiar perkhidmatan awam Singapura, Mediacorp, sepanjang lima tahun kebelakangan ini.

Peruntukan itu adalah bagi menyokong penyiar tersebut menjangkau penonton domestik merentasi empat bahasa rasmi di sini, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Beliau berkata perangkaan itu lebih rendah jika dibandingkan dengan dana tahunan sekitar $750 juta yang diperuntukkan bagi penyiar kebangsaan di Finland dan Denmark, yang mempunyai jumlah penduduk agak serupa dengan Singapura.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Encik Foo Cexiang, dalam sidang Parlimen pada 15 Oktober.

Encik Foo mengajukan soalan berkenaan dana yang diberikan kepada penyiar perkhidmatan awam sepanjang lima tahun lalu dan sama ada Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menjejak jumlah penonton bagi program yang disiarkannya.

Cik Teo berkata: “Bagi membolehkan entiti media perkhidmatan awam beradaptasi dengan berkesan dan berinovasi dalam landskap media yang pesat berubah, pemerintah menyediakan dana untuk operasi keseluruhan dan bukan program individu (berasingan).”

Beliau menambah, MDDI tidak mempunyai data jangkauan penonton yang wajar bagi tahun-tahun sebelum ini kerana kementerian itu tidak lagi menjejak jangkauan wadah televisyen semata-mata, tetapi kepada metrik lebih meluas.

Metrik lebih meluas itu merentasi semua wadah Mediacorp, termasuk wadah media sosial, memandangkan “tabiat penggunaan penonton tempatan kian berubah”, di samping strategi yang ditetapkan oleh penyiar itu, katanya.

Memberi contoh, beliau berkata jangkauan televisyen Mediacorp menurun kepada sekitar 10 peratus sepanjang dekad lalu, tetapi penonton video aktif unik bagi wadah dalam talian penyiar itu, meWATCH, telah meningkat sekitar 80 peratus dalam tempoh yang sama.

Selain itu, tahap kepuasan orang ramai terhadap Mediacorp kekal stabil, iaitu lebih 75 peratus, sepanjang dekad lalu, tambah Cik Teo.

“Kami akan terus memastikan dana pemerintah dapat menyokong media perkhidmatan awam dengan secukupnya dan secara berkesan dalam mencapai misi kebangsaan,” ujarnya.

Pada 2020, dalam jawapan kepada soalan parlimen, pemerintah telah memperuntukkan kira-kira $310 juta setiap tahun untuk program penyiaran perkhidmatan awam dalam tempoh lima tahun sebelumnya.

Dana tersebut menyokong peruntukan bagi purata 3,000 jam rancangan televisyen setahun di seluruh saluran percuma Mediacorp dalam empat bahasa rasmi, kata Menteri Komunikasi dan Penerangan pada waktu itu, S. Iswaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg