Singapura perlu mencari jalan untuk melindungi politik di negara ini daripada memperguna kaum dan agama berlatar persaingan kian sengit untuk menambat hati pengundi di pilihan raya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap di Parlimen pada 24 September, Encik Wong menggesa semua Anggota Parlimen (AP) untuk mengesahkan komitmen mereka berkhidmat kepada semua rakyat Singapura dan menolak secara rasmi daripada memperguna tarikan kaum dan agama semasa pilihan raya.
Dalam ucapannya pada hari ketiga perbahasan mengenai Amanat Presiden, Encik Wong juga menggesa Dewan mengamalkan politik yang membina, yang dijalankan dengan serius dan integriti, sedang masyarakat semakin matang dan politik berkembang.
“Satu rakyat yang bersatu, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, bukan sekadar sepotong ayat dalam Ikrar kita,” kata Encik Wong.
“Ia adalah asas kemerdekaan kita. Ia adalah sebab mengapa kita merdeka. Ia adalah asas kepada negara kita. Janganlah kita semua melupakannya.”
Encik Wong berkata semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), terdapat insiden di mana pihak luar cuba mengeksploitasi perbezaan antara kaum dan agama di Singapura untuk memecahbelahkan dan melemahkan warga Singapura.
Berkongsi lebih lanjut, Encik Wong berkata ada pihak luar yang telah menyerang kredibiliti calon tertentu kerana calon tersebut didakwa gagal memperjuangkan hak masyarakat agama tertentu. Ada juga pihak luar yang memuji seorang calon yang menentang pemisahan agama dan politik.
Semasa GE2025, terdapat beberapa catatan Facebook yang dibuat oleh dua ahli politik Malaysia dan seorang warga Australia. Warga Australia itu, yang merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menggesa pengundi membuang undi mengikut agama. Menyusuli itu, pemerintah mengarahkan Meta, pemilik Facebook, untuk menyekat akses ke kiriman tersebut.
Di Singapura pula, Encik Wong berkata terdapat rakyat Singapura yang turut menggalak kumpulan tertentu untuk mengundi mengikut garis perkauman dan agama.
“Mereka berkata – undilah calon ini kerana dia adalah wakil yang lebih baik bagi kaum atau agama anda. Atau mereka membandingkan dua calon, dan berkata – undi orang ini kerana dia telah menjadi juara yang lebih lantang untuk bangsa atau agama anda.”
Perkara tersebut yang mendorong Encik Wong untuk mengadakan sidang media semasa GE2025 untuk menggesa rakyat Singapura menolak politik identiti dengan tegas dan mengingatkan parti politik supaya menjauhkan kaum dan agama daripada ruang politik, kata beliau.
Encik Wong menambah beliau berbuat demikian bukan sebagai pemimpin parti, tetapi sebagai Perdana Menteri untuk menjelaskan bahawa kaum dan agama tidak boleh digunakan sebagai senjata dalam politik Singapura.
“Mujurlah, ramai rakyat Singapura menolak seruan untuk mengundi mengikut garis perkauman dan agama,” kata Encik Wong.
“Mereka mengundi calon yang mereka rasa terbaik untuk Singapura, tanpa mengira kaum atau agama.”
Sementara itu, Encik Wong berkata walaupun rakyat telah memilih untuk mengembalikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai pemerintah di GE2025, PAP tidak menganggap ia berhak secara automatik untuk mentadbir Singapura dan akan terus berusaha gigih untuk meraih hak tersebut dan memperbaiki kehidupan rakyat Singapura.
Malah, pemerintah akan berusaha lebih gigih untuk mendekati dan melibatkan rakyat di luar Dewan, selain mengalu-alukan pandangan yang pelbagai di Parlimen.
Sebagai contoh, Encik Wong berkata pemerintah akan membuka peluang baru bagi rakyat untuk mengadakan perbincangan dan penglibatan yang lebih mendalam, melebihi saluran-saluran sedia ada untuk perundingan awam.
Sehubungan itu, pemerintah juga akan melancarkan pusingan kedua Panel Belia pada 2026 untuk menggalak belia berkongsi idea mereka, berikutan kejayaan pelancaran pusingan pertama Panel Belia pada 2023, ujar beliau.
“Kepada semua anak muda Singapura saya katakan – Kita tidak akan mengecewakan anda. Kita sedang membina Singapura bersama anda, dan untuk anda.
“Anda juga mempunyai peranan... bekerjasama dengan kami untuk menjamin masa depan yang lebih cerah untuk diri anda dan rakyat,” kata Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg