Pemimpin dunia ucap tahniah kepada PM Wong, PAP atas kemenangan GE
Pemimpin dunia ucap tahniah kepada PM Wong, PAP atas kemenangan GE
Pemimpin dunia ucap tahniah kepada PM Wong, PAP atas kemenangan GE
Para pemimpin dunia menyampaikan ucap tahniah kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas kemenangan pilihan raya pada 3 Mei.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, berkata pentadbiran Presiden Donald Trump mengalu-alukan kerjasama rapat dengan pemerintah baru yang dilantik.
“Selama hampir 60 tahun, Amerika dan Singapura berkongsi perkongsian strategik yang kukuh dan berkekalan serta komitmen terhadap rantau Indo-Pasifik yang selamat, bebas dan makmur,” kata beliau dalam satu kenyataan.
“Kami berharap untuk terus bekerjasama rapat dengan pemerintah yang baru dipilih dan Perdana Menteri Wong untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi dan hubungan pertahanan dan keselamatan dua hala kami, yang memberi manfaat kepada warga Amerika, Singapura dan lain-lain di seluruh rantau ini,” tambah kenyataan itu.
Menyampaikan ucapan tahniah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mendoakan PM Wong dan pasukannya terus berjaya.
“Kita terikat bukan sahaja oleh geografi, malah dengan hubungan persaudaraan dan kerabat yang berkekalan. Sambil kita melihat ke masa depan, kedua-dua negara kita sedang membina kerjasama yang mendalam di semua peringkat – asas penting sedang kita mengharungi cabaran yang mendalam kepada ketenteraman global dan perdagangan antarabangsa,” kata Datuk Anwar dalam catatan Facebook pada 4 Mei.
Beliau menambah bahawa kedua-dua Malaysia dan Singapura mempunyai peluang untuk menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai contoh cemerlang apa yang boleh dicapai oleh negara berjiran, dengan keyakinan dan tujuan bersama.
Warga Singapura memberi PAP kuasa kepimpinan dengan 65.57 peratus undi popular pada Pilihan Raya Umum 3 Mei – meningkat daripada 61.24 peratus semasa pilihan raya 2020, lapor The Straits Times.
Pengundi menyokong parti pemerintah, yang memperoleh 87 daripada 97 kerusi parlimen dalam pilihan raya yang berlangsung berlatarbelakangkan ketidaktentuan global dan perang perdagangan.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata “kemenangan muktamad” itu mencerminkan kepercayaan, kestabilan dan keyakinan warga Singapura terhadap “kepimpinan kukuh” PM Wong dan PAP.
“Saya percaya bahawa pemerintah baru akan meneruskan kejayaannya untuk memimpin Singapura. Saya berharap untuk meneruskan dan mengukuhkan kerjasama kami dengan Singapura di bawah kepimpinan Yang Berhormat (Encik) Wong,” kata Encik Prabowo dalam catatan di X.
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba berkata beliau berharap dapat bekerjasama lebih erat dengan PM Wong bagi mengukuhkan hubungan cemerlang antara kedua-dua negara, sedang Singapura dan Jepun meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2025.
Sambil mengucapkan tahniah kepada PM Wong atas “kemenangan gemilangnya”, Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, berkata India dan Singapura berkongsi kerjasama yang kukuh dan pelbagai, ditunjangi oleh hubungan rapat antara rakyat dengan rakyat.
Sementara itu, dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman webnya, Kementerian Ehwal Luar Taiwan berkata ia mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan Singapura dalam pelbagai isu serantau dan global.
Perdana Menteri New Zealand, Encik Christopher Luxon, menyatakan bahawa New Zealand dan Singapura berkongsi persahabatan yang kuat dan berkekalan dan berkata bahawa beliau tidak sabar untuk meraikan 60 tahun hubungan rapat bersama pada 2025.
Pemimpin Eropah juga menyampaikan ucap tahniah mereka.
Presiden Majlis Eropah, Encik Antonio Costa, mengucapkan kepada PM Wong dan pemerintah baru “semua yang terbaik bagi mandat mereka”.
Ketua Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, berkata EU sangat menghargai “kerjasama cemerlang” dengan Singapura.
“Perkongsian kita semakin mendalam, dalam perdagangan dan pelaburan, dan juga pertahanan, keselamatan, inovasi. Kerana banyak lagi yang boleh kita lakukan bersama,” katanya dalam hantaran di X.

