Kemenangan besar Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bukan sekadar undi keyakinan terhadap kepimpinannya, tetapi satu isyarat penting kepada rakyat Singapura dan dunia bahawa Singapura bersatu padu di belakang beliau, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong pada 4 Mei.
Dalam satu catatannya di laman Facebook selepas kemenangan besar Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lee berkata adalah penting untuk Encik Wong memperolehi mandat yang kukuh bagi memimpin negara menghadapi ketidaktentuan sejagat dan cabaran yang sulit.
“Ia adalah penting bagi PM Wong memenangi mandat yang kukuh dalam pilihan raya ini, untuk menunjukkan kepada rakyat Singapura, dan kepada dunia, bahawa beliau mendapat sokongan penuh daripada sebuah negara yang bersatu.
“Kita tahu bahawa kita perlu bersatu untuk menghadapi cabaran besar di hadapan.
“Kita telah menyatakan dengan jelas sokongan kita kepada Perdana Menteri dan pasukan generasi keempatnya (4G),” tambahnya lagi.
PAP memenangi 87 daripada 97 kerusi di Parlimen, dan meraih 65.57 peratus undi popular, peningkatan daripada 61.2 peratus undi pada GE2020.
Keputusan ini mencerminkan sokongan kukuh terhadap kepimpinan Encik Wong, setahun selepas beliau mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Encik Lee, yang berundur selepas hampir dua dekad memimpin negara.
Menurut Encik Lee, prestasi cemerlang itu menunjukkan rakyat Singapura memahami sepenuhnya kepentingan pilihan raya kali ini.
Antara isu yang diketengahkan dalam pilihan raya ini termasuk isu-isu berkaitan perkauman dan agama.
Namun begitu, Encik Lee berkata keputusan pilihan raya ini menunjukkan dengan jelas bahawa rakyat Singapura menerima dan dapat mengekalkan norma berbilang kaum dan budaya yang begitu asas kepada negara kita.
Menekankan sokongannya bagi Encik Wong, Encik Lee berkata pemerintah PAP di bawah kepimpinan Encik Wong, akan terus melakukan yang terbaik untuk berkhidmat.
“Kedua-dua warga Singapura lebih mapan yang telah banyak menyumbang kepada negara ini, dan yang lebih muda, dengan ramai yang mengundi buat kali pertama, yang mempunyai matlamat dan aspirasi mereka sendiri (akan memberi sokongan).
“Marilah kita bersama-sama menunjukkan apa yang boleh dilakukan oleh Singapura. Banggakan nenek moyang kita, dan buatlah yang betul untuk anak cucu kita,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg