Beberapa pemimpin pertubuhan agama dan persekutuan telah mengeluarkan kenyataan untuk menyeru perpaduan di tengah-tengah isu berhubung politik identiti pada 26 April.
Antaranya, Pertubuhan Antara Agama Singapura (IRO), Lembaga Penasihat Sikh (SAB), Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA), Pusat Pemahaman Antara Agama Singapura (Cifu); dan hash.peace.
Keamanan antara kaum dan agama di Singapura bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya ia hasil daripada usaha berterusan yang tidak boleh dipandang ringan, kata Presiden Pertubuhan Antara Agama Singapura (IRO), Encik Gurmit Singh.
Dalam satu kenyataan, Encik Gurmit berkata Singapura telah menyaksikan bahaya konflik kaum dan agama pada masa lalu, terutamanya apabila agama dicampuradukkan dengan politik.
“Di Singapura, agama sentiasa dipisahkan daripada politik kerana keharmonian agama merupakan sebahagian penting daripada jati diri negara ini,” katanya.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan bahawa pemerintah telah mengenal pasti beberapa pihak asing yang cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), pada 25 April.
Antara percubaan tersebut termasuk dakwaan bahawa beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam gagal mewakili kepentingan masyarakat Muslim di Singapura.
Memberi respons, SAB berkata pilihan raya di Singapura mesti dilindungi daripada pengaruh luar.
“Singapura telah berusaha keras untuk membina sebuah masyarakat sekular dan aman di mana pelbagai kumpulan kaum dan agama hidup bersama secara harmoni.
“Ini telah dicapai melalui usaha generasi rakyat Singapura serta pelbagai langkah termasuk tidak mengimport politik luar dan mengekalkan isu-isu keagamaan, walaupun penting dan perlu, daripada dimasukkan ke dalam wacana politik tempatan kita,” kata SAB dalam kenyataannya.
Dalam kenyataan berasingan, SFCCA menekankan keperluan yang semakin meningkat untuk memperdalam komitmen bersama terhadap Singapura dan memelihara tanggungjawab bersama dalam menjaga negara dan rakyatnya.
“Sempena ulang tahun ke-40 penubuhan persekutuan kami pada 2025, kami akan meneruskan usaha untuk memupuk persefahaman dan kepercayaan antara kumpulan etnik yang berbeza demi memperkukuh perpaduan sosial kami,” kata SFCCA.
Dalam satu hantaran Facebook, Cifu berkata menyemai retorik keagamaan ke dalam wacana politik berisiko memecahbelahkan masyarakat dan menjejas keharmonian sosial yang telah lama dipupuk oleh Singapura sejak beberapa dekad.
“Dalam negara sekular, ahli politik dan penyokong mereka mesti mengelakkan daripada menggunakan sentimen agama untuk memecahbelahkan rakyat.
“Sekularisme mewujudkan ruang di mana semua orang, tanpa mengira kepercayaan, dapat hidup bersama dalam harmoni,” kata Cifu.
Presiden hash.peace, Cik Nazhath Faheema, juga berkongsi sentimen serupa dan berkata rakyat Singapura perlu membezakan dengan jelas antara agama dengan politik.
Agama adalah sesuatu yang sangat peribadi dan suci, katanya.
“Apabila ia ditarik masuk ke dalam pertikaian politik, risiko salah faham dan perpecahan akan meningkat.
“Tiada pemenang apabila agama dipolitikkan, ia hanya melemahkan kepercayaan yang telah kita bina dengan susah payah selama beberapa generasi.
“Keharmonian sosial dalam banyak masyarakat telah terjejas akibat perkara ini,” kongsi Cik Nazhath dalam catatan Facebooknya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg