Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin S’pura kirim kawat takziah kepada Vatican

Apr 22, 2025 | 7:08 PM
paus Francis, meninggal,  Presiden Tharman Shanmugaratnam
Pope (Paus) Francis bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam satu majlis di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura pada September 2024. - Foto fail

Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah menghantar surat takziah kepada Setiausaha Negara Vatican, Kardinal Pietro Parolin, pada 22 April berikutan kematian Paus (Pope) Francis.

Menurut The Straits Times, pemimpin 1.4 bilion penganut Katolik dunia itu meninggal dunia di Rome pada 21 April.

Beliau berusia 88 tahun.

Presiden Tharman berkata Paus Francis ialah penyokong keamanan dan penggiat usaha silang agama di samping menyokong tindakan memerangi perubahan iklim, dan bagaimana ia membahayakan masyarakat yang paling terdedah.

“Paus Francis adalah seorang pemimpin bagi dunia yang bergolak,” tulis Presiden Tharman dalam surat takziah yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 22 April.

“Beliau juga akan diingati kerana kerendahan hatinya, bergaul dengan orang miskin dan menghormati maruah setiap individu,” tambah surat tersebut.

PM Wong berkata hubungan antara Singapura dengan Holy See, pihak berkuasa yang mentadbir Vatican dan Gereja Roman Katolik, telah diperkukuh dengan ketara semasa perkhidmatan Paus Francis, yang bermula pada 2013.

Beliau menulis bahawa Paus Francis meninggalkan kesan yang kekal kepada ramai rakyat Singapura semasa lawatan tiga harinya pada September 2024, apabila beliau bertemu dengan Presiden Tharman dan PM Wong.

Paus Francis secara konsisten menyeru perpaduan dan pembinaan jambatan merentasi pelbagai lapisan masyarakat, tulis PM Wong, sambil menambah bahawa mesej itu bergema dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Usaha Paus Francis untuk mempromosi keamanan dan persaudaraan akan terus memberi inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia, tambah PM Wong.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Dunia Katolik berduka pada 21 April apabila pihak Vatican mengesahkan bahawa Paus Francis, pemimpin tertinggi Gereja Katolik Roman yang pertama berasal dari Amerika Latin, telah meninggal dunia.

Paus Francis, yang dilahirkan dengan nama Jorge Mario Bergoglio di Argentina, telah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah tamu Santa Marta, tempat beliau berehat selepas keluar dari hospital baru-baru ini akibat jangkitan radang paru-paru yang serius.

Menurut pasukan perubatan Vatican, Paus Francis berada dalam keadaan kritikal sebanyak dua kali semasa menerima rawatan di hospital awal tahun ini.

Jangkitan penyakitnya telah menyebabkan kerosakan pada paru-paru serta memberi tekanan ketara kepada otot pernafasannya.

Walaupun beliau kembali ke Vatican pada 23 Mac, namun tahap kesihatannya kekal rapuh dan beliau terus bergantung kepada alat bantuan oksigen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg