Langkah Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengurangkan jumlah calon daripada 24 dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) kepada 13 pada GE2025 ini disifatkan sebagai usaha parti itu untuk lebih fokus dalam kempen mereka, kata Setiausaha Agung parti, Encik Leong Mun Wai.
Secara keseluruhan, parti itu menandingi 24 kerusi di empat Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan lima Kawasan Undi Perseorangan (SMC) pada GE2020.
Dalam GE2025 ini, PSP bertanding dalam dua GRC dan empat SMC.
Usaha lebih fokus ini melihat parti itu memberi tumpuan kepada tiga isu utama – mengurangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dasar perumahan dan pengalaman di Parlimen sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).
Setelah tewas tipis kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam persaingan bagi GRC West Coast pada GE2020, dua calon PSP dalam pilihan raya itu, Encik Leong dan naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa, dilantik NCMP sebelum Parlimen dibubarkan.
Mereka sebahagian daripada anggota pasukan yang bertanding bagi GRC West Coast-Jurong West sekali lagi.
Pengamat politik, Profesor (Adjung) Terence Ho daripada Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata isu kos sara hidup “mungkin mendapat daya tarikan paling tinggi dalam kalangan pengundi”.
“Seperti parti-parti lain, PSP mencari tumpuan secara khususnya pada kos sara hidup dan GST. Ia berjanji untuk membangkitkan keprihatinan rakyat di Parlimen, menukil rekod prestasi mantan NCMP parti itu,” ujar beliau.
Ini di samping kedudukan parti yang ingin memainkan peranan dalam mengusulkan dasar alternatif dan membina bagi membantu pemerintah mencapai yang terbaik bagi warga Singapura, seperti kata pengerusi dan pengasas parti, Dr Tan Cheng Bock.
Semasa ucapannya di siaran politik parti (PPB) pada 25 April, Dr Tan berkata:
“Kita (warga Singapura) perlukan lebih ramai pembangkang setia yang mencadangkan dasar alternatif membina… menyuarakan untuk anda… membantu pemerintah mencari jalan terbaik bagi masa hadapan Singapura.”
Di sebalik isu-isu yang diketengahkan dalam kempen parti, persaingan sengit dijangka bagi GRC West Coast-Jurong West, kata Profesor Ho, setelah barisan calon PSP menampilkan tiga pemimpin tertinggi parti iaitu Encik Leong, Cik Poa dan Dr Tan serta dua muka baru, Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.
Ketiga-tiga calon pernah bertanding dalam GE2020 bagi GRC West Coast, sebelum kawasan undi itu berubah sempadan berikutan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac.
Semakan sempadan itu antara lain menyaksikan estet Taman Jurong dan sebahagian Jurong Spring, yang sebelum ini membentuk GRC Jurong, kini menjadi sebahagian GRC West Coast-Jurong West.
Profesor Ho berkata: “PSP mempertaruhkan segalanya di GRC West Coast-Jurong West dengan meletakkan anggota berprofil tinggi dalam parti seperti Dr Tan dan mantan NCMP, Encik Leong serta Cik Poa, sebagai calon (di kawasan undi ini).
“Tanpa mengambil kira perubahan sempadan... PSP nampaknya beranggapan GRC yang baru dibentuk itu sebagai peluang terbaik bagi memasuki Parlimen kerana mereka telah aktif mendekati penduduk di bahagian Barat Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg